KEMENTERIAN Pertahanan akan memberi kerjasama penuh kepada semua badan berkuasa yang melakukan siasatan isu Kapal Tempur Pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata antara badan kerkuasa terlibat dalam siasatan isu LCS adalah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) serta Audit Forensik.
“Saya dan barisan kepimpinan di MINDEF tiada sebarang perkara yang hendak disembunyikan sebaliknya hanya mahu perkara ini dapat diselesaikan dan diteruskan demi kepentingan TLDM, demi wang awam yang dibelanjakan serta kepentingan negara.
“MINDEF juga memberi jaminan keputusan Kabinet ini tidak akan mengganggu tiga perkara yang telah saya tegaskan beberapa kali sebelum ini.
“Pertama, TLDM memerlukan LCS dan sebab itu ia mesti diteruskan selaras keputusan Jemaah Menteri pada April 2022. Kedua, pihak yang salah tetap salah dan mesti dihadapkan ke muka pengadilan.
“Ketiga, dalam tempoh enam bulan ini, MINDEF juga giat melakukan kerja-kerja rundingan dengan pihak OEM, vendor dan perbankan sebagai pelan mobilisasi bagi memastikan LCS dapat disiapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hishammuddin berkata, justeru itu amat penting untuk semua pemegang taruh kekal fokus terhadap usaha meneruskan projek LCS, demi memastikan TLDM dapat memiliki LCS yang sangat mereka perlukan dengan secepat mungkin. – Malaysiapost

