JAIS siasat kejadian lelaki mengamuk dakwa pembesar suara surau terlalu bising

0
2

JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) melakukan siasatan lanjut berhubung kejadian seorang lelaki mengamuk di sebuah surau di Ampang Jaya dikaitkan dengan pembesar suara yang dipasang ketika program kuliah subuh.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, berkata pihaknya pada 23 Oktober 2017 telah mengeluarkan arahan kepada pentadbir masjid dan surau seluruh Selangor untuk tidak membenarkan penggunaan pembesar suara luar untuk sesi kuliah yang dijalankan.

Katanya, ia selaras titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris berhubung pembesar suara pada 16 Oktober 2017.

“Sultan Sharafuddin dengan jelas menitahkan bahawa penggunaan pembesar suara untuk ceramah dan kuliah hendaklah dihadkan di dalam ruang atau dewan masjid dan surau sahaja.

“Pembesar suara luar hanya boleh digunakan bagi tujuan azan dan bacaan ayat-ayat suci al-Quran bagi tempoh pendek sebelum azan dilaungkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Shahzihan berkata, titah baginda dibuat agar imej dan kemuliaan agama Islam sebagai suatu sistem cara hidup yang sempurna dan dianamik.

Tambah beliau, ianya juga bagi mementingkan kesejahteraan masyarakat seluruhnya dapat dirasai oleh semua pihak dan seterusnya menjadi contoh teladan yang baik.

“Justeru, siasatan lanjut akan dibuat mengikut Seksyen 12 (a) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor No.9 Tahun 1995 kerana disyaki berlakunya satu perbuatan melanggar titah Sultan Sharafuddin atas sifat baginda sebagai Ketua Agama Islam di negeri ini,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan polis menahan seorang lelaki yang mengamuk di sebuah surau yang terletak di Ampang Campuran.

Lelaki tersebut dipercayai bertindak sedemikian selepas mendakwa pembesar suara yang dipasang ketika kuliah subuh di surau itu terlalu bising sehingga mengganggunya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here