PELANCARAN kapal tempur persisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut pada 2017 adalah kapal sebenar yang sedang dalam proses pembinaan.
Panglima TLDM Ke-16, Laksamana Tan Sri Dr Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, menjelaskan tiang ‘mast’ yang dipasang pada LCS itu juga adalah yang sebenar dan bukan ‘dummy’ seperti didakwa sesetengah pihak.
“Saya perlu beritahu orang ramai bahawa yang dilancarkan di Lumut ketika itu ialah kapal LCS 1 sebenar yang sedang dalam proses pembinaan, bukan dummy. Ini termasuk ‘mast’ yang dikhabarkan palsu.
“Jadi tuduhan kononnya pelancaran LCS di Lumut pada tahun 2017 dilaksanakan untuk tipu dan kelirukan orang ramai, tidak benar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Kamarulzaman berkata, perkara tersebut telah dijelaskan semasa sesi Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) sebelum ini.
Justeru itu, beliau meminta agar tiada pihak pihak sengaja menimbulkan isu demi kepentingan sendiri sehingga sanggup mengelirukan orang ramai.
Pada 24 Ogos 2017, LCS pertama milik TLDM dilancarkan dan diberi nama Kapal Diraja (KD) Maharaja Lela berlangsung di dermaga Boustead Naval Shipyard (BNS) di Pangkalan TLDM Lumut, Perak.
Upacara penamaan dan pelancaran kapal bernilai RM1.5 bilion itu disempurnakan oleh Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim sambil disaksikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Dalam masa sama, Ahmad Kamarulzaman berkata, pelancaran dan penamaan sesebuah kapal perang sebelum ia siap sepenuhnya merupakan tradisi serta praktis TLDM sejak sekian lama dan bukannya pertama kali dilakukan di Lumut.
Malah katanya, praktis itu amalan biasa di negara-negara lain.
“Sebab itu perkara ini juga disebut oleh Kapten (B) Ir Azhar Jumaat dalam sesi menghadap PAC pada 11 Disember 2021 lalu.
“Sebagai contoh praktis di negara lain semasa pelancaran kapal LCS yang dibina oleh Naval Group untuk kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Perancis, kapal tersebut juga belum siap sepenuhnya.
“Penting untuk saya beritahu fakta sebenar supaya orang awam tidak terus keliru akibat kenyataan sesetengah pihak yang bersifat populis dan politiking,” katanya. – Malaysiapost

