6 individu ditahan, dadah RM1.3 juta dirampas

0
1

POLIS menahan enam individu termasuk dua wanita dan merampas 38.161 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine dianggarkan bernilai lebih RM1.3 juta yang disorokkan di bahagian belakang kenderaan jenis Honda City di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, semalam.

Sepasukan polis sedang melakukan rondaan cegah jenayah mengesan dua kenderaan iaitu sebuah kereta Toyota Vellfire dan sebuah Honda City dalam keadaan mencurigakan sekitar 1.20 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata, hasil pemeriksaan mendapati dadah methamphetamine disorokkan di bahagian belakang kereta Honda City.

“Selain 1.7 gram dadah jenis methamphetamine turut dijumpai di dalam pemilikan salah seorang daripada suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Dellhan berkata, kereta Honda City itu dinaiki dua lelaki manakala Toyota Vellfire dinaiki seorang lelaki serta dua wanita, dan kedua-dua kenderaan itu dipercayai tiba dari Pantai Timur Semenanjung, dalam perjalanan untuk menghantar bekalan dadah berkenaan.

“Susulan penahanan lima suspek itu, polis menahan seorang lagi lelaki kira-kira 6.15 petang hari yang sama di Jalan Chendana dipercayai ahli sindiket yang berperanan sebagai penerima dan ‘runner’ dadah.

” Hasil ujian saringan air kencing ke atas kesemua suspek yang berumur 20 hingga 49 tahun itu mendapati tiga daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine.

Beliau berkata, kesemua suspek kini direman sehingga 15 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here