Aiman Hanif
WALAUPUN terdapat banyak aduan dan liputan semasa tentang pelanggaran hak asasi manusia ke atas kaum Uyghur di Xinjiang, kerajaan China masih lagi terus bermaharajalela berlaku kejam terhadap mereka tanpa ada sebarang tanda-tanda akan berhenti.
Sebaliknya, penyalahgunaan kuasa dan salah laku kian berleluasa terutamanya melalui program ‘normalisasi dan pendidikan semula’ yang mengheret kaum Uyghur ke kem tahanan khusus atas nama penempatan semula, menjadikan mereka buruh paksa dan lebih dahsyat lagi, pembunuhan beramai-ramai bersifat penghapusan etnik.
Kaum Uyghur, yang majoritinya beragama Islam, mempunyai populasi sebanyak 12 juta orang daripada keseluruhan rakyat negara China dan kebanyakan mereka bermastautin di daerah Xinjiang.
Sejak sedekad yang lalu, kerajaan China telah secara aktif menempatkan semula kebanyakan kaum Uyghur ini ke kem tahanan dan mengharamkan hak mereka untuk bebas mengamalkan ajaran agama sendiri dengan cara antaranya menghancurkan masjid, tempat-tempat pembelajaran agama Islam dan juga tanah perkuburan.
Kebetulan pula, Xinjiang juga merupakan kawasan perladangan pokok kapas secara besar-besaran dan kaya dengan sumber minyak dan gas asli.
Malaysia sebelum ini pernah menyuarakan rasa ketidakpuashatian terhadap kerajaan China tentang tindakan mereka terhadap masyarakat Uyghur tetapi Malaysia perlu lebih tegas lagi dalam memperjuangkan agenda Uyghur di China, lebih-lebih lagi selaku suara lantang mewakili negara Islam di ASEAN.
Walaupun kita ada NGO-NGO yang menyuarakan agenda ini melalui beberapa siri protes di Kuala Lumpur dan meminta wakil kerajaan China di Malaysia untuk meberikan penjelasan, tidak ada satu pun yang diendahkan oleh mereka.
Barangkali kerana NGO-NGO ini bukanlah wakil daripada kerajaan Malaysia sendiri dan mereka tidak mempunyai hak untuk menyuarakan apa-apa agenda kepada kerajaan China.
Apa yang diperlukan ialah tekanan terus daripada kerajaan Malaysia sendiri, seperti mengecam tindakan China terhadap masyarakat Uyghur secara lebih lantang dan kerap ataupun jika mahu lebih drastik, meniru tindakan serius seperti mana yang dibuat oleh negara-negara Barat.
Amerika Syarikat misalnya, telah mengambil tindakan tegas dengan mengeluarkan Akta Pencegahan Buruh Paksa Uyghur pada tahun 2022, yang mengharamkan semua barangan yang datangnya dari daerah Xinjiang selagi mana tidak dibuktikan asal usulnya bukan dari kem tahanan.
Parlimen Europah pula, walaupun belum lagi membuat akta undang-undang khusus untuk daerah terbabit, telah sebulat suara mengecam tindakan kerajaan China dan menyuarakan pendapat mereka untuk mengharamkan sebarang aktiviti jual beli dari kawasan Xinjiang yang mungkin datang hasil daripada pengeluaran buruh paksa.
Selaku negara ahli OIC, Malaysia perlu melaksanakan perkara yang sama dan menghantar mesej tegas terhadap tindakan kerajaan China ke atas masyarakat Uyghur.
Dengan berbuat demikian, Malaysia akan menjadi “pembawa obor nyalaan semangat negara-negara Islam” dalam mempertahankan hak orang muslim di rantau itu.
Hanya melalui tekanan politik keras sebegini akan memberikan suara yang kuat mewakili rakyat Malaysia bahawa kita sebagai sebuah negara tidak akan bertolak ansur dengan tingkah laku tidak beretika sebegitu.
Sudah tiba masanya Malaysia berhenti berdiam diri dan menggalas tanggungjawab moral untuk menyuarakan ketidakpuashatian rakyat negara ini terhadap kezaliman.
Kerajaan China mesti ditekan dan dihentikan daripada terus berleluasa menyeksa dan mencabul hak asasi manusia masyarakat Uyghur di tanah air mereka sendiri. – Malaysiapost

