KETUA Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan mempersoalkan mengapa Ahli Parlimen yang bertukar parti selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) terlepas daripada siasatan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).
Beliau berkata, tidak menghairankan ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah, Ketua SPRM adalah pemimpin tertinggi PKR.
“Sudah tentu tak akan siasat dan dakwa MP (Ahli Parlimen) lompat yang menyokong mereka.
“Mac 2020 Azam Baki diangkat menjadi orang nombor 1 SPRM gantikan Latheefa Koya. Kenapa MP Lompat ini masih tidak disiasat?
“Adakah mereka kebal dari undang undang? Atau pun SPRM masih menerima tekanan daripada orang politik?,” soalnya dalam hantaran Facebook.
Kenyataan itu berhubung kait dengan dakwaan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang berkata SPRM mengamalkan dwistandard dalam mendakwa Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ianya atas dakwaan Presiden Umno itu menerima rasuah dan tidak bertindak terhadap bekas rakan partinya yang melompat ke Bersatu
Kata Guan Eng, SPRM hanya meneliti kes tiga bekas pemimpin Umno itu selepas Zahid mendedahkan mereka di mahkamah semasa membela diri.
Jun lalu, Zahid memberi keterangan ketiga-tiga Ahli Parlimen itu, iaitu Datuk Seri Mustapa Mohamed (Jeli), Datuk Mas Ermieyati (Masjid Tanah) dan Datuk Noor Azmi (Bagan Serai) meninggalkan parti itu untuk menyertai Bersatu ‘kerana takut’ mereka akan disiasat SPRM.
Ahmad Zahid mendakwa Mustapa, yang juga ketua Umno Kelantan ketika itu, menerima RM30 juta yang sepatutnya digunakan untuk membawa pulang penduduk Kelantan dari Lembah Klang mengundi pada PRU14, namun ia tidak diagihkan.
Beliau berkata, Mas Ermieyati diamanahkan dengan dana untuk menguruskan Puteri Umno pada PRU14, tetapi mendakwa ia dipindahkan ke akaun lain untuk kegunaan peribadinya.
Beliau juga mendakwa abang Noor Azmi menyalahgunakan dana untuk pembangunan di kawasan Parlimennya. – Malaysiapost

