Kit Siang persoal kenapa skandal LCS tidak dibentangkan lebih awal

0
1
KRedit: The rocket

AHLI Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang mempersoalkan kenapa skandal projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang bernilai RM9.13 billion hanya dibentangkan di Parlimen pada Khamis lalu.

Veteran DAP itu berpendapat, ia sepatutnya dibentangkan dalam Sidang Dewan Rakyat pada Mac lalu bagi membolehkan perbahasan Parlimen dan semakan awam yang lebih mendalam, namun kini isu itu sudah menjadi lapuk.

“Persoalan ini timbul kerana mesyuarat terakhir Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai isu enam LCS ini adalah pada 8 Mac 2022.

“Menjadi satu kecuaian tanggungjawab Parlimen untuk tidak memastikan laporan PAC ini dibentangkan pada sidang Mac 2022, di mana Parlimen telah bersidang selama 16 hari.

“Walaupun tidak dibentang dalam sidang Mac, mengapa pula Laporan PAC ini tidak dibentangkan kepada Dewan pada hari pertama persidangan Parlimen yang bermula pada 18 Julai lalu bagi membolehkan ia diteliti dan dibahaskan di Parlimen?” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kit Siang berpendapat, ia kelihatan seperti ada pihak yang sengaja melengah-lengahkan pembentangan laporan PAC itu supaya perkara berkenaan tidak menerima perhatian dan penelitian yang sepatutnya.

“Satu penjelasan perlu diberikan kepada rakyat Malaysia mengenai kelewatan pembentangan laporan PAC mengenai LCS ini.

“Boleh Speaker memberikan petunjuk mengenai kelewatan ini?

Beliau turut mempersoalkan mengenai majlis “pelancaran” yang tidak masuk akal untuk LCS pertama yang telah diadakan pada 2017, namun selepas lima tahun kemudian, kapal berkenaan masih belum siap.

“Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, perlu memohon maaf kepada Raja Permaisuri Perak kerana mengelirukan baginda dalam “melancarkan” LCS1 sedangkan kapal ini masih belum siap sehingga hari ini.

“Apakah status keenam-enam LCS ini, yang mana lima yang sepatutnya telah siap sekarang?” soalnya lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here