PEMUDA Umno menganggap tindakan penghantar atau ‘riders’ yang melakukan mogok selama satu hari adalah wajar berikutan penindasan yang keterlaluan oleh syarikat kapitalis.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keringat golongan penghantar terutama anak muda diperah tanpa memikirkan kebajikan dan keselamatan mereka.
“Justeru sudah tiba masanya kerajaan segera mengiktiraf status individu yang terlibat di dalam industri e-hailing & p-hailing sebagai pekerja dan dilindungi oleh Akta Kerja 1955 dan akta-akta berkaitan,
“..di samping mewujudkan sebuah badan kawal selia yang mengkaji keperluan peraturan-peraturan (regulations) yang lebih adil dan realistik untuk penyedia perkhidmatan dan penghantar,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Semalam, Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) menyokong cadangan pemberian satu hari ‘offline’ bagi semua penghantar syarikat penyedia perkhidmatan GrabFood dan Foodpanda.
Katanya, Penghantar memahami situasi semasa di mana kadar bayaran perkhidmatan penghantaran pesanan yang semakin rendah dan secara langsung menjejaskan pendapatan serta kos perlu ditanggung mereka. – Malaysiapost

