KERAJAAN memberi jaminan untuk melaksanakan strategi terbaik bagi menangani isu tuntutan pihak mendakwa waris Kesultanan Sulu terhadap negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata Pasukan Khas yang ditubuhkan berhubung isu itu telah mengadakan mesyuarat pertama Rabu lalu di Kuala Lumpur.
“Antara perkara yang dibincangkan adalah berkaitan tindakan undang-undang yang telah diambil oleh Kerajaan Malaysia di Sepanyol dan Perancis bagi menangani tuntutan tersebut.
“Selain daripada itu, isu pembayaran wang serahan yang berjumlah 5,300 dolar setahun turut dibincangkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini
Dalam pada itu, Wan Junaidi memaklumkan, Final Award yang dikeluarkan pada 28 Februari 2022 tidak menyentuh isu pengambilan wilayah Sabah atau kedaulatan negeri itu pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu.
“Pasukan Khas turut mengambil maklum bahawa pelantikan Dr Stampa sebagai penimbang tara dan juga kesemua tindakan bersifat prosedur yang dibuat olehnya telah dibatalkan berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi Madrid bertarikh 29 Jun 2021.
“Berdasarkan keputusan bertarikh 29 Jun 2021 tersebut, Mahkamah Tinggi Madrid telah mengeluarkan keputusan bahawa ‘Partial Award on Jurisdiction’ yang dikeluarkan pada 25 Mei 2020 oleh Dr Stampa adalah tidak sah dan terbatal,” katanya.
Menurut Wan Junaidi, kerajaan juga telah mengemukakan permohonan untuk membatalkan ‘Exequatur Order’ dan seterusnya permohonan bagi menggantung penguatkuasaannya.
Katanya, permohonan Kerajaan bagi menggantung penguatkuasaan Exequatur Order tersebut telah dibenarkan oleh Mahkamah Perancis pada 16 Disember 2021.
“Seterusnya, kerajaan telah membuat permohonan membatalkan Final Award yang dikeluarkan oleh Dr Stampa pada 28 Februari 2022 dan juga permohonan bagi menggantung penguatkuasaan Final Award tersebut di Mahkamah Perancis.
“Mahkamah tersebut telah membenarkan permohonan bagi menggantung penguatkuasaan Final Award tersebut pada 12 Julai 2022,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa penubuhan Pasukan Khas ini adalah komitmen kerajaan memastikan strategi yang terbaik dapat dilaksanakan.
“Secara umumnya, kerajaan akan memastikan kemenangan demi kepentingan negara dan kedaulatan negara tetap terpelihara.
“Kerajaan juga yakin bahawa semua tindakan dan strategi yang sedang dan akan dilaksanakan bagi menangani isu ini akan membuahkan hasil yang positif dengan sokongan semua pihak khususnya rakyat Malaysia,” katanya.
Pada 12 Julai lalu, kumpulan Sulu dilaporkan merampas aset dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan, yang dikatakan menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) dari Malaysia.
Langkah itu adalah sebahagian daripada tindakan undang-undang yang dikemukakan pada 2017 oleh kumpulan Sulu untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah, yang didakwa dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.
Pada Mac lalu, penimbang tara di Perancis memutuskan bahawa Malaysia, yang mewarisi obligasi perjanjian pajakan apabila memperoleh kemerdekaan daripada Britain, mesti membayar waris berkenaan sebanyak AS$14.92 bilion.
Susulan itu, Wan Junaidi dilaporkan berkata, keputusan Mahkamah Arbitrasi Paris untuk Malaysia membayar pampasan AS$14.92 bilion kepada pihak mendakwa sebagai waris Sultan Sulu, adalah tidak sah kerana tidak berlandaskan undang-undang. – Malaysiapost

