KEBERADAAN Datuk Zuraida Kamaruddin kekal dalam Kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disifatkan sebagai antara ‘kepelikan politik’ selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Veteran Umno, Tan Sri Shahrir Samad, berkata perkara itu dapat dilihat apabila Zuraida masih dikekalkan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi walaupun beliau sudah meninggalkan Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
“Antara begitu banyak kepelikan politik selepas PRU14 adalah kebolehan Zuraidah Kamaruddin dan dua lagi Ahli Parlimen kekal dalam kerajaan MOU pimpinan Ismail Sabri.
“Sungguhpun Zuraidah sudah lompat keluar dari Bersatu untuk menyertai parti berjenama barunya, iaitu Parti Bangsa Malaysia (dulu Sarawak Workers Party), jawatannya sebagai menteri tetap selamat dan tidak juga dicabar oleh Bersatu.
“Pandangan istimewa terhadap Zuraida sebagai menteri tetap kekal walaupun berbagai jawatan dalam agensi di bawah kementeriannya diisi oleh pegawai-pegawai partinya,” katanya menerusi Facebook.
Shahrir berkata, situasi itu disifatkan sungguh ‘istimewa’ memandangkan PBM masih belum diisytiharkan sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) ataupun GPS.
“Saya libatkan GPS kerana dua Ahli Parlimen PBM adalah dari Sarawak. Tapi, PBM adalah ahli komponen ‘menanti’ BN. Itu keistimewaan parti Zuraidah.
“Kononnya kerana PBM sebuah parti politik ‘multiracial’ dan BN tidak ada komponen bersifat sedemikian setelah Gerakan meninggalkan BN.
“Tapi Gerakan menyertai BN dengan kekuatan sebuah kerajaan negeri. PBM tidak membawa apa-apa kekuatan. Malah kalah teruk dalam PRN Johor. Namun, kepelikan politik pasca-PRU14,” katanya.
Semalam, Zuraida mengesahkan PBM telah menghantar permohonan rasmi untuk menyertai BN bagi menghadapi PRU15 tiga minggu lalu.
Beliau yang juga Presiden Penaja PBM bagaimanapun berkata, setakat ini BN masih belum menjawab permohonan tersebut. – Malaysiapost

