Ben Ibrahim
SEMUA syarat dan prosedur ditetapkan Kerajaan Persekutuan dipatuhi kerajaan Pahang dalam pelaksanaan Projek Bandar Aeroangkasa Pahang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan, kata Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata, perkara itu sudah dipersetujui ketika mesyuarat EXCO Pahang pada 15 Julai lalu dan sudah dibentangkan kepada Majlis Perancang Fizikal Negara ke-39 dipengerusikan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob pada 21 Oktober tahun lalu.
“Dalam mesyuarat EXCO, kita bersetuju supaya kajian komprehensif dilakukan bagi cadangan pembinaan bandar aeroangkasa Pahang ini.
“Selain itu, projek ini juga sudah diperakukan oleh MPFN Oktober tahun lalu,” katanya dalam kenyataan, petang tadi.
Wan Rosdy mengeluarkan kenyataan itu susulan tindakan Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke membangkitkan soalan mengenai pelaksanaan projek itu ketika sidang Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menegaskan kerajaan Pahang sentiasa berusaha memastikan segala syarat dipatuhi bagi memastikan projek membabitkan komponen pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan dan projek bercampur di bandar aeroangkasa itu direalisasikan.
Projek berkenaan akan dibangunkan di atas tanah seluas 5,042 hektar berhampiran kawasan perindustrian Gebeng melalui insiatif pembiayaan swasta (PFI).
Konsep pembinaan pula adalah secara Build-Operate-Own (BOO) dan apabila siap kelak, operasi lapangan terbang itu akan dikendalikan syarikat tujuan khas (SPV), Pahang Airport Berhad.
“Satu garis masa ditetapkan bagi jangkaan tempoh pembinaan dan jangkaan mula beroperasi, bagi memastikan semua pemegang taruh membuat tindakan dan mematuhi semua syarat pembinaan lapangan terbang, sehinggalah memperoleh kelulusan Aerodrome Operator Licence (AOL) daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Malaysia (CAAM).
“Perancangan ini penting kerana projek ini adalah projek berimpak tinggi selaras dengan hasrat kerajaan negeri menjadikan Pahang sebagai ‘National Transit Hub’.
“Projek ini mengambil kira faktor hub ekonomi lain, kerana ia terletak berhampiran kawasan perindustrian Gebeng, Pelabuhan Kuantan dan Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL),” katanya lagi.
Wan Rosdy memberitahu, satu memorandum perjanjian (MoA) sudah ditandatangani pada Mac lalu oleh Perbadanan Setiausaha Kerajaan selaku pemilik tanah, Pahang Corporation Sdn Bhd sebagai pengurus dan penasihat projek, dan Gading Group Berhad selaku pemaju utama bandar aeroangkasa Pahang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuantan.
Katanya, dua lagi memorandum persefahaman (MoU) antara pemaju utama dan rakan strategik ditandatangani pada 6 Julai lalu sebagai bukti kesungguhan semua pihak berkepentingan untuk memastikan projek ini berjaya.
“Pihak pemaju utama sedang dalam proses menyediakan dokumen dan menjalankan kajian berkaitan, bagi mematuhi syarat ditetapkan Kementerian Pengangkutan Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

