Moga ROS segera luluskan GTA – Asyraf Wajdi

0
1

PENUBUHAN gabungan politik terbaru dengan nama Gerakan Tanah Air (GTA) oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini bakal menyaksikan Barisan Nasional (BN) ditentang empat gabungan parti dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berharap gabungan itu diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) atas prinsip meraikan semangat demokrasi dalam negara.

“Gabungan politik terbaru dengan nama GTA baru dilancarkan oleh Tun Dr Mahathir dengan tiga parti utama Pejuang, Putra dan Berjasa. Dalam ucapan Tun Mahathir tujuan penubuhan parti gabungan GTA ini adalah untuk mengalahkan Umno.

“Dengan penubuhan parti GTA, bermakna sudah ada beberapa gabungan parti yang akan bertanding dalam PRU-15 akan datang untuk melawan BN iaitu Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan parti Warisan.

“Moga ROS dapat segera meluluskan permohonan Tun Mahathir untuk mendaftarkan GTA ini,” katanya di Facebook mengulas mengenai sidang media pengumuman kerjasama politik baharu berkenaan.

Beliau turut meminta pandangan ramai mengenai penubuhan gabungan parti berkenaan dan mendapat pelbagai komen mengenainya.

Antara pandangan yang dikongsikan di ruangan komennya adalah daripada Mohamad Zaini yang berpendapat gabungan politik Melayu itu berlaku kerana parti-parti Melayu tidak bersatu.

“Bila Umno, Bersatu dan Pas tidak mahu bersatu maka datangnya group ini (GTA) untuk mengisi kekosongan tersebut,” katanya.

Salihin Mood Nor pula berpendapat banyaknya parti baru dan lama yang ingin menentang BN menunjukkan BN adalah satu parti yang sangat disukai oleh rakyat.

Sementara itu, M Zukhairi A Latef pula berpendapat lebih banyak parti gabungan adalah lebih baik kerana memberi banyak pilihan kepada rakyat.

“Rakyat boleh nak pilih bukannya BN sahaja…mana-mana dapat mandat rakyat jadi kerajaan buat kerja bukan payah pun jadi menteri arah sana sini, janji rakyat dapat untung bukan ahli politik dapat untung,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here