TIMBALAN Presiden PKR Rafizi Ramli dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Wilayah Persekutuan yang baharu, manakala Naib Presiden Datuk Seri Amirudin Shari pula dilantik sebagai Pengerusi MPN Selangor.
Perkara itu diumumkan oleh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan di laman Facebooknya, hari ini.

Menurutnya, pelantikan itu diputuskan dalam mesyuarat bersama kesemua Ketua Cabang PKR Selangor dan Wilayah Persekutuan telah diadakan petang tadi.
“Dalam mesyuarat tersebut kesemua Ketua Cabang di Selangor telah bersetuju dengan pelantikan saudara Amirudin Shari sebagai Pengerusi MPN Selangor.
“Sementara itu semua Ketua Cabang Wilayah Persekutuan pula telah bersetuju dengan pelantikan saudara Rafizi Ramli sebagai Pengerusi MPN Wilayah Persekutuan,” katanya.
Beliau percaya pelantikan-pelantikan baharu itu akan dapat membantu PKR mempercepat kesiapsiagaan parti mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). – Malaysiapost

