SELEBRITI media sosial, Khairul Aming berkongsi kegembiraannya apabila jualan produk Sambal Nyet keluarannya kini mencecah satu juta botol dengan hasil diraih sebanyak RM14 juta.
Lebih membanggakan, Khairul turut mengumumkan pembukaan kilang keduanya di Kelantan, yang akan beroperasi tidak lama lagi.
“Selepas setahun setengah beroperasi, Alhamdulillah hari ni jualan Sambal Nyet mencecah 1,000,000 botol dan menjadikan jumlah jualan sambal RM 14 juta ringgit.
“Pada hari pertama kita jual Sambal Nyet, kita cuma dapat jual 200 botol sehari. Tetapi Alhamdulillah dapat jual 5,000 botol sambal sehari. Team kita juga dah berkembang daripada lapan orang kini sudah naik ke 50 orang.

“Kita juga baru tambah kilang kedua seluas 22,000 sqft di Kelantan yang akan beroperasi tak lama lagi,” katanya menerusi laman Twitternya semalam.
Khairul berkata, walaupun banyak cabaran dihadapi ketika awal kilang beroperasi, semangat dan usaha mereka berbaloi apabila jualan produk mencecah sejuta botol.
“Alhamdulillah hari ini (semalam) kita reach jualan sebanyak sejuta botol. Ada 1,000,000 botol sambal yang dimasak dari scratch, dibalut dan dihantar ke setiap pelanggan di seluruh negara.
“Ini satu milestone yang aku sendiri tak boleh terfikir masa mula-mula nak launch sambal ni dulu. It’s been a long journey and i’m happy boleh berkongsi rezeki dengan orang lain juga,” tulisnya.
Tambahnya, bagi mengembangkan perniagaan, pembukaan kilang kedua ini nanti, ia akan menambah pengeluaran produk Sambal Nyet serta menghasilkan produk kedua.
“Kilang ini akan menampung production tambahan untuk Sambal Nyet, dan juga menjadi tempat persediaan untuk pengeluaran produk kedua nanti,” katanya. – Malaysiapost

