
DEWAN Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menyokong penuh pelaksanaan Generational Endgame (GEG) dan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022.
Ketua DPIM Shahir Adnan, berkata pihaknya turut menggesa semua wakil rakyat di Dewan Rakyat dan Senator di Dewan Negara untuk meluluskannya demi melahirkan generasi bebas rokok.
Menurutnya, keadaan anak-anak di sekolah kian membimbangkan dengan penularan gejala menghisap rokok dan vape dengan kes-kes di sekolah rendah lagi.
“Keadaan lebih parah apabila pembelian vape dari platform media sosial dan secara atas talian menjadi lebih senang. Budaya merokok dan vape bukan sahaja merugikan wang ringgit, malah membahayakan kesihatan diri sendiri dan orang terdekat.
“Rokok merupakan satu-satunya produk dagangan yang terbukti membahayakan penggunanya, namun masih dibenarkan untuk dijual di pasaran terbuka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kerajaan juga diingatkan untuk memperkasakan pemantauan dalam pelaksanaan GEG kerana ianya boleh menyumbang kepada peningkatan permintaan untuk produk tembakau dan vape dalam pasaran gelap.
“Tanpa sekatan atau peraturan yang sewajarnya, produk tembakau yang dijual di pasaran gelap boleh dipalsukan, dan kemudiannya boleh menyebabkan kemudaratan anggota badan pengguna akibat bahan dan kualiti tidak terkawal,” katanya.
Shahir berkata, DPIM bersetuju dengan beberapa pindaan dicadangkan dalam iaitu hukuman denda diganti dengan khidmat masyarakat sebagai pilihan dan pengurangan denda standard untuk GEG dalam Akta daripada RM5,000 kepada RM500.
“Selain tiada pemeriksaan badan bagi sesiapa di bawah umur 18 tahun dan tiada hukuman untuk pemilikan bagi semua kesalahan berkaitan GEG.
“Namun begitu, pihak kerajaan perlu memikirkan cara pemerkasaan RUU ini untuk menyekat pembelian rokok dan vape secara haram di pasaran gelap,” katanya.
Beliau berkata, harus diingatkan akta baharu menerusi GEG tidak akan mencegah perokok dewasa sebagai perantara yang membekalkan produk tembakau kepada generasi muda.
“Kemungkinan wujud pelbagai cara lebih kreatif dalam perdagangan produk tembakau dengan melibatkan golongan dewasa sebagai pengantara. Peranan siapakah untuk mengekang masalah ini sebagai agensi penguatkuasa?” katanya
Menurutnya, sebarang penguatkuasaan rang undang-undang oleh pihak berkuasa juga perlu selari dan tidak bercanggah dengan hak asasi manusia.
“Seperti yang dinyatakan sebelum ini, untuk mewujudkan generasi tanpa rokok memerlukan satu anjakan paradigma dan undang-undang yang berkesan kerana setelah 60 tahun merdeka, isu rokok masih tidak selesai,” katanya. – Malaysiapost
