AHLI Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Nasrudin Hassan menyifatkan penganjuran pesta arak ‘Oktoberfest’, boleh meruntuhkan tamadun sekali gus merosakkan nilai peribadi masyarakat.
Beliau berkata, apabila arak difestivalkan sebagai acara meminum di dalam Malaysia, bererti satu promosi dan galakan kepada masyarakat negara ini untuk minum arak.
Jelasnya, Islam adalah agama yang tidak membenarkan penganutnya membeli, menjual, menyedia dan meminum arak, kerana ia adalah minuman yang memabukkan serta menghilangkan akal, sedangkan Islam sangat menghargai akal yang sihat.
“Namun, Islam tidak pernah menghalang individu bukan Islam jika agamanya membenarkan ia meminum arak. Namun berbeza dengan pesta arak yang dirayakan secara terbuka seperti Oktoberfest.
“Ini kerana Malaysia adalah sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan. Islam adalah agama negara.
“Maka sudah barang tentu bahawa festival arak tersebut bukan sahaja tidak sesuai bahkan sangat mencabar kedudukan Islam sebagai agama negara,” katanya menerusi Facebook.
Tambah Nasrudin, bahkan minuman arak ini boleh menjadi pembuka pintu masuk kejahatan dalam negara ini.
“Kejahatan yang dihasilkan mampu meruntuhkan peradaban manusia dan tamadun negara kita,” katanya.
Beliau turut memetik satu laporan menyebut bahawa Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus menegaskan bahawa arak adalah lebih bahaya berbanding ‘terrorist’ (pengganas) kerana lebih tiga juta manusia mati kerana arak di seluruh dunia.
“Jadi, arak sememangnya mendorong keganasan rumah tangga, pemandu mabuk menjadi pembunuh kejam di jalanraya, menjadi punca kepada penyakit kronik, pencetus kepada maksiat serta mungkar dan sebagainya.
“Sebagai contoh di United Kingdom, statistik menunjukkan bahawa 39 % keganasan rumahtangga adalah berpunca dari arak sementara 1 juta serangan ganas sekitar tahun 2007/2008 adalah angkara mabuk dan separa mabuk,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa minuman arak bukan penyumbang kepada pembangunan sebaliknya meruntuhkan akhlak manusia.
“Arak tidak pula melestarikan budaya harmoni dalam masyarakat sebaliknya menyuburkan persengketaan. Arak tidak membina akal yang sihat dan minda yang cerdas sebaliknya melumpuhkan daya fikir.
“Lantaran itu, kenapa arak mahu dipesta-pestakan kalau tidak mereka mahu menjadi agen meruntuhkan tamadun dan merosakkan nilai peribadi masyarakat,” katanya. – Malaysiapost

