Nahas pesawat PIPER: PM ucap takziah

0
1

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52, yang maut dalam nahas pesawat jenis PIPER 28-161 terhempas di Sungai Rokam berdekatan Medan Gopeng di Ipoh, malam tadi.

Perdana Menteri berkata, beliau turut mendoakan agar keluarga Allahyarham tabah menghadapi kehilangan itu.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan roh orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Sambil malahirkan rasa dukacita atas kejadian itu, Perdana Menteri turut mendoakan seorang lagi mangsa, Muhammad Din Fikri Zainal Abidin yang cedera agar segera sembuh.

Lewat malam tadi Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan satu kemalangan melibatkan sebuah pesawat yang sedang menjalani latihan penerbangan berdekatan Medan Gopeng, Ipoh, Perak.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Kapten Chester Voo, turut mengesahkan seorang juruterbang maut manakala seorang lagi cedera parah.

Menurutnya, pesawat latihan itu terhempas selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here