Kaji semula perkhidmatan e-panggilan motosikal – Fahmi

0
1

AHLI Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil menggesa kerajaan mengawal selia perkhidmatan e-panggilan motosikal, agar kesesakan lalu lintas dapat dikurangkan sekali gus meningkatkan mobiliti dalam kalangan warga kota.

Beliau berkata, perkhidmatan seumpama itu juga boleh membantu mereka yang berulang-alik jarak dekat.

November lalu, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Henry Sum Agong berkata, tiada rancangan untuk memperkenalkan perkhidmatan e-panggilan motosikal disebabkan kadar kematian jalan raya yang tinggi dalam kalangan penunggang motosikal.

Hari ini, Fahmi berkata, terdapat hujah untuk membenarkan perkhidmatan sedemikian dalam radius sehingga 10km.

“Contohnya, jika dari rumah anda mahu ke stesen MRT, atau dari pejabat ke stesen LRT, perkhidmatan sebegini lebih ekonomikal dan dapat membantu mengelak kesesakan lalu lintas,” katanya memetik Free Malaysia Today.

Beliau yang juga Pengarah Komunikasi PKR berkata, langkah menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan e-panggilan motosikal boleh membantu usaha Kuala Lumpur menjadi bandar rendah karbon menjelang 2030.

Tambah beliau, di kawasannya, orang ramai yang membuat janji temu di hospital berhampiran mendapati tambang e-panggilan sedia ada terlalu mahal.

Pengasas Dego Ride, Nabil Feisal Bamadhaj, berkata syarikat itu berharap kerajaan dapat mengawal selia perkhidmatan itu supaya kedua-dua penunggang dan penumpang akan menggunakannya dengan yakin.

“Kami dapat lihat lalu lintas jadi lebih teruk apabila aktiviti ekonomi disambung semula selepas wabak. Pada masa sama, kami lihat permintaan terhadap perkhidmatan kami meningkat,” katanya.

“Tetapi penunggang ragu-ragu untuk menyertai kami kerana mereka tidak pasti sama ada perkhidmatan kami sah,” ujarnya.

Dego Ride memulakan operasi pada Julai 2015 tetapi terpaksa dihentikan dua tahun kemudian disebabkan kebimbangan mengenai keselamatan jalan raya. Syarikat itu kini menyediakan perkhidmatan penghantaran menggunakan motosikal.

Nabil berkata, tinjauan tidak rasmi yang dijalankan oleh pasukannya di stesen-stesen Transit Aliran Ringan (LRT) baru-baru ini menunjukkan bahawa para penumpang menyambut baik kos lebih rendah dan masa perjalanan lebih pantas yang ditawarkan oleh perkhidmatan e-panggilan motosikal.

Sementara itu, Fahmi secara sinis mengulas pelantikan Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz sebagai bendahari Barisan Nasional Selangor.

“Sebelum ini, beliau rapat dengan (Presiden Bersatu) (Tan Sri) Muhyiddin Yassin, jadi beliau perlu menjelaskan pelantikan itu.

“Rakyat akan memutuskan sama ada beliau membebankan Umno,” katanya.

Katanya, Tengku Zafrul sebelum ini mendakwa beliau tidak akan menyertai politik, walaupun sudah lama menjadi ahli Umno.

Pada Jun, Tengku Zafrul menyangkal spekulasi akan menyertai politik dengan berkata, beliau memberi tumpuan kepada usaha pemulihan ekonomi negara. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here