Juruterbang pesawat ringan terhempas stabil

0
2

JURULATIH penerbangan yang cedera dalam insiden pesawat ringan terhempas di Jalan Raja Dr Nazrin Shah Ipoh, malam tadi dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata juruterbang berusia 62 tahun itu ketika ini masih dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

“Semalam saya dengar ada khabar angin mengatakan juruterbang itu meninggal dunia, itu tidak benar,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir Majlis Penyerahan Bot Penyelamat Polis Diraja Malaysia (PDRM) oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, hari ini.

Mior Faridalathrash berkata, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) pagi ini akan menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

“Semalam kita membantu mereka mengepung tempat berkenaan agar tiada pencerobohan dibuat ke atas bangkai pesawat terbabit.

“Salah satu sayap pesawat berkenaan patah. Kita membuat kawalan sepanjang malam sehingga ke pagi ini bagi memberi ruang kepada pihak CAAM menjalankan siasatan,” katanya.

Sementara itu, Saarani berkata, siasatan akan dilakukan CAAM dan kerajaan negeri meminta kaedah bagaimana langkah keselamatan dapat ditingkatkan.

“Pesawat terhempas hampir tengah pekan di mana orang ramai berada, pihak CAAM barang kali ada kaedah kaedah tertentu untuk mengelaknya daripada berulang,” katanya.

Dalam kejadian malam tadi, seorang juruterbang maut manakala seorang cedera parah apabila pesawat Piper yang mereka naiki terhempas di Jalan Raja Dr Nazrin Shah, dekat Medan Gopeng, Ipoh. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here