Tiada siapa paksa Tengku Zafrul sertai BN – Asyraf Wajdi

0
2

“TIADA siapa paksa dia (Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz) pakai baju BN (Barisan Nasional),” kata Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata demikian bagi menjawab kritikan dan sindiran khususnya daripada ‘cybertrooper’ Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) susulan gambar yang dimuat naik di Facebook bersama Bendahari BN Selangor yang baharu itu.

Menurut Asyraf Wajdi, ramai ‘kepanasan’ apabila melihat gambar berkenaan dengan pelbagai fitnah.

“Ramai juga cybertrooper PN dan PH yang kepanasan lihat gambar ni. Fitnah saya macam-macam, jilatlah, dulu maki hamun lah.

“Bila saya tanya bukti status mana yang saya maki ataupun jilat, tak ada yang boleh mendatangkannya,” katanya diruangan komen perkongsian gambar berkenaan, hari ini.

Beliau mendakwa pihak berkenaan tidak tahu membezakan antara kritik, berbeza pandangan dan mendesak bagi pihak rakyat dalam isu-isu menyentuh kepentingan rakyat seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), moratorium dan mempercepatkan bantuan rakyat waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bukankah saya katakan selalu, mengkritik dan punya perbezaan pandangan tidak semestinya memutuskan silaturrahim dan ukhwah,” katanya.

Asyraf Wajdi menegaskan tiada siapa memaksa Tengku Zafrul menyertai BN dan ia adalah hak Menteri Kewangan itu sendiri untuk memilih parti.

“Kalau dia akhirnya memilih bersama BN bukan PN (yang melantik beliau ke jawatan Menteri) jauh sekali PH, itu hak beliau. Soal calon biarlah Pengerusi BN kelak yang menentukan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here