BEKAS Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah meninggal dunia malam tadi di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur.
Perkara itu dimaklumkan secara rasmi di laman sosial Facebook rasminya.
“Dukacita dimaklumkan Ybhg Tan Sri Abdul Khalid bin Ibrahim telah pulang ke rahmatullah pada pukul 11.08 malam tadi di Hospital Cardiac Vascular Sentral, Kuala Lumpur.
“Allahyarham dengan tenang dan disaksikan oleh semua ahli keluarganya.
“Allahyarham dimasukkan ke hospital sejak 23 April yang lalu akibat jangkitan pada injap jantung. Beliau meninggalkan seorang isteri, empat orang anak dan dua orang cucu,” katanya dalam satu kenyataan rasmi yang disiarkan di Facebooknya.
Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Saidina Umar Al Khattab, Bukit Damansara untuk dimandi, dikafan dan disembahyangkan.
Selepas selesai urusan kafan, jenazah akan dibawa ke Masjid Negeri Shah Alam bagi memberi peluang kepada rakyat Selangor untuk memberikan penghormatan terakhir sebelum solat jenazah.
Menurut kenyataan itu, Sultan Selangor telah bertitah supaya jenazah Allahyarham di Makam Di Raja Shah Alam.
“Marilah kita sama-sama berdoa kepada Allah SWT khusus buat Allahyarham semoga Allah SWT memperkenan doa kita,” kata kenyataan itu lagi.
Abdul Khalid pernah menyandang jawatan Menteri Besar Selangor selama enam tahun bermula 13 Mac 2008 hingga 22 September 2014.
Selain pernah menjadi Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, di antara tahun 2008, 2013 dan 2018.
Beliau dipecat sebagai Menteri Besar Selangor oleh PKR sebelum jawatan itu digantikan bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Sebelum menyandang jawatan Menteri Besar Selangor, beliau merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysianized Guthrie yang kini dikenali sebagai Kumpulan Guthrie Bhd dari 1995 hingga 2003.- Malaysiapost

