SEMANGAT kesukanan tinggi dipamerkan Hendrawan ketika lawannya menghadapi kesulitan telah mencuri perhatian peminat di Sukan Komanwel Birmingham 2022.
Jurulatih perseorangan badminton negara itu tidak teragak-agak meminjamkan kasutnya untuk dipakai pemain perseorangan Jamaica, Rickett, yang tapak kasutnya terkoyak.
Sejak pagi tadi, klip video memaparkan detik manis semangat kesukanan Hendrawan itu tersebar di media sosial.
Ia bermula apabila Rickett yang sedang beraksi menentang pemain perseorangan negara Ng Tze Yong tiba-tiba mengalami masalah selepas tapak kasutnya koyak.
Agak janggal apabila Rickett hanya membawa sepasang kasut dan tidak memiliki kasut lain.
Ianya menyebabkannya Rickett terpaksa memotong lebihan bahagian tapak kasut yang terkoyak itu bagi meneruskan permainan.
Bagaimanapun kasut ‘cacat’ itu nyata tidak memberi keselesaan kepada Rickett sekali gus mengundang jurulatihnya ke tepi gelanggang dengan membawa kasut rakan sepasukan untuk dipakainya.
Malangnya, saiz kasut itu kecil dan tidak muat untuk kaki Ricket sekali gus turut mengundang Tze Yong campur tangan dalam hal berkenaan.
Dalam klip video itu turut memaparkan Tze Yong bertanyakan saiz kaki Rickett yang sebenar sebelum dia membawa sepasang kasut untuk dipakai lawannya itu.
Mungkin secara kebetulan, saiz kasut tersebut ‘ngam’ dengan kaki Rickett dan perlawanan dapat diteruskan semula.
Rupanya, kasut yang dipakai Rickett itu adalah milik Hendrawan yang kemudiannya menjadi perhatian lensa kamera.
Meskipun nampak lucu kerana hanya berstokin putih di tepi gelanggang, namun kesudian Hendrawan meminjamkan kasutnya kepada Rickett yang lawan anak buahnya telah menimbulkan perasaan berbaur di kalangan netizen.
Rata-rata netizen menghamburkan pujian kepada sifat murni yang dipamerkan Hendrawan itu sekali gus membuktikan kemenangan dalam sukan bukan lah segala-galanya jika tidak memiliki semangat kesukanan tinggi. – Malaysiapost

