KEPUTUSAN Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sudah tentu tidak digemari pihak yang mengharapkan ‘ledakan’ dalam pemilihan Umno, kata Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu, berkata ‘ledakan’ akibat pemilihan parti pernah dilalui Umno sebelum ini dan ia bergantung kepada kebijaksanaan pemimpin untuk mengendalikan situasi tersebut.
“Seperti bencana alam, ada kala boleh jangka ada kala sukar dijangka, namun kebijaksanaan manusia bagaimana meramal, menguruskan dan mengelakan impak yang besar,” katanya menerusi Facebook.
Dalam pada itu, Ahmad Shabery berkata, Umno melalui proses pemilihan berkali-kali sejak parti itu diwujudkan, sekali gus mencetuskan pelbagai peristiwa dan sejarah.
“Umno melalui proses pemilihan yang berkali-kali sejak diwujudkan. Tahun 1951 yang kalah keluar parti. PAS lahir dari situ.
“Tahun 1987 pertarungan lebih besar hingga Umno diharamkan. Umno Baru dan Semangat 46 muncul. Mereka bertaut kembali lapan tahun kemudiannya.
“Kemudian Umno menang besar seluruh negara dalam PRU 1986. Paling besar di Kelantan. Umno menang semua kerusi Parlimen kecuali Bachok sahaja.
“Namun, pada tahun 1990 selepas itu, kesan dari perpecahan 1987, Umno hilang semua kerusi Parlimen dan DUN di Kelantan. Kesan selepas tiga tahun pemilihan 1987,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, jika pemilihan Umno diadakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ia akan mendatangkan banyak risiko.
“Menguruskan hati manusia yang pelbagai niat dan kehendak lebih sukar dari menguruskan musim tengkujuh yang boleh dijangka.
“Jadi, keputusan ROS sudah tentu tak digemari oleh mereka yang mengharapkan ‘ledakan’ dari pemilihan dalam Umno. Sebagaimana yang pernah berlaku sebelum ini,” katanya.
Semalam, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan ROS meluluskan usul pindaan Perlembagaan Umno yang diputuskan parti itu sebelum ini.
Beliau berkata, kelulusan diberikan oleh ROS, selepas menilai segala dokumen berkaitan pindaan itu lebih 60 hari, akan berkuat kuasa semalam.
“ROS bersetuju kepada pindaan Perlembagaan Umno supaya pemilihan Umno di semua peringkat diadakan tidak boleh lebih daripada enam bulan selepas diadakan sesuatu Pilihan Raya Umum (PRU) Parlimen (Dewan Rakyat),” katanya. – Malaysiapost

