Hanya satu haluan menentukan kemenangan Umno PRU15

0
1
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

UMNO mesti memiliki satu haluan yang padu untuk kembali menawan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Naib Presiden Umno itu berkata, tiada haluan lain dalam parti itu kecuali haluan yang memupuk semangat bersatu padu di kalangan ahli yang dapat menentukan kemenangan pada PRU15 ini.

“Untuk menang pilihan raya dan mendapat mandat baharu, parti mesti bersatu dengan hanya satu haluan. Haluan itu ialah haluan Umno.

“Bukan haluan Presiden, bukan haluan Perdana Menteri. Bukan haluan mana-mana kelompok atau kluster.

“Untuk kesatuan haluan ini dijayakan, segala fraksi dalam Umno mesti kembali bertaut. Jangan diturutkan sangat segala percaturan, perbalahan, politicking yang hanya melemahkan Umno secara dalaman,” katanya di Facebook, hari ini.

Bagaimanapun, bekas Menteri Besar Johor itu tidak menafikan wujudnya pergeseran dalam Umno yang sememangnya menjadi lumrah dalam setiap mana-mana parti politik.

“Menafikan Umno mempunyai pergeseran dalaman adalah bohong. Namun pergeseran tersebut adalah lumrah dalam berpolitik. Jangan biarkan ia menjadi retak dan belah yang merugikan Umno.

“Ingat, biduk berlalu kiambang bertaut. Lalu kembalilah semua ke haluan Umno, yang selama ini menjadi alasan kita semua berpolitik,” katanya.

Menjelaskan mengenainya, Mohamed Khaled berkata, musuh Umno sangat gembira melihat Umno menjadi lemah dan berpecah belah.

“Puak berkepentingan di luar sana sangat gembira apabila Umno berpecah belah. Kerana Umno yang lemah akan mudah dikalahkan. Dan apa yang lebih menggembirakan dari berjaya melihat parti terbesar goyah dan bercempera?

“Umno adalah wadah kita berkhidmat dan menyemai kebaikan selama ini. Fungsi itu tidak pernah berhenti. Tiada siapa yang lebih besar dari wadah dan fungsi ini,” katanya.

Lantaran itu, beliau menegaskan, setiap ahli Umno boleh berbeza pandangan dalam setiap perkara, namun jangan dibiarkan menjadi barah sehingga parti boleh berpecah belah.

“Dukungan Umno kepada Perdana Menteri mesti sepenuh hati. Begitu juga dukungan Perdana Menteri kepada Presiden dan parti mesti menyeluruh. Kedua-duanya mesti menguat satu sama lain.

“Perdana Menteri harus menjadi suara Umno dan Presiden pula mesti menjadi jurubicara bangsa. Hanya dengan sedemikian, kerajaan dan parti terus sehaluan,” katanya.

Justeru, Mohamed Khaled menegaskan, memenangi PRU15 adalah fokus paling utama Umno ketika ini.

“Kerajaan yang sedia ada bersifat interim. Ini realiti. Semua memahaminya. Akhirnya, Umno mesti mencari jalan keluar dari kesementaraan ini demi kestabilan negara melalui pilihan raya yang demokratik,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here