‘Saya antara mangsa wakil rakyat lompat parti’ – Shafie Apdal

0
1
Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Shafie Apdal

AHLI Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yakin Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti akan dapat menghapuskan budaya lompat parti dan menjadi instrumen kepada kestabilan negara.

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu berkata, ketika ini banyak negara telah melaksanakan undang-undang seumpama itu dan ia sesuai dilaksanakan di Sabah, iaitu negeri yang paling banyak berlaku perubahan kerajaan.

“Saya di antara mangsanya (wakil rakyat lompat parti). Pada 2018, tiga orang wakil rakyat yang seorang dari DAP dan dua dari PKR keluar gabungan.

“Kalau tiga wakil rakyat itu tidak keluar, saya masih ‘the goverment of the day’ tetapi itu cuma sejarah,” katanya seperti dilapor AstroAwani semasa program Dialog Tiga Penjuru malam tadi.

Bagaimanapun, beliau yakin, semangat kekitaan akan dapat memastikan mengembalikan kepercayaan rakyat.

“Yang penting, apa jua perbezaan politik kita, kita selaku ahli Dewan Rakyat yang ada, harus ada semangat kekitaan supaya kita dapat realisasikan seperti disebut Datuk Seri Nazri Aziz, mandat rakyat itu jangan dikecewakan kerana ini adalah intipati yang cukup penting kepada harapan rakyat,” ujarnya.

Malah, katanya, wakil rakyat yang sudah dipilih melalui sistem demokrasi berpelembagaan perlu membuktikan kepada pengundi bahawa mereka dipercayai dan mampu bersama-sama membangunkan negara.

“Sebab itu ketidakpercayaan itu ada, apabila kita dengar ada yang bercakap, kita tidak boleh percaya dengan apa yang ahli politik cakap, pasal apa? Ini kerana tabiat dan tingkah laku kita ini yang jadi cemuhan.

“Jadi saya yakin langkah ini diharap jadi cara terbaik untuk menghakis amalan yang tidak sihat sehingga timbul keyakinan kepada penggubal dasar dan pimpinan negara dan kita akhirnya dapat membangunkan negara,” katanya.

Semalam, Dewan Rakyat mencatat sejarah apabila Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti, diluluskan dengan sokongan majoriti lebih dua pertiga. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here