VETERAN Umno, Tan Sri Shahrir Samad mempersoalkan keengganan wakil Ahli Parlimen daripada Bersatu membahas Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti di Dewan Rakyat, semalam.
Ketua Bahagian Umno Johor Bahru itu, berkata Bersatu sebagai parti yang mempunyai paling ramai Ahli Parlimen yang ‘melompat’ sepatutnya wajar mengambil bahagian dalam perbahasan berkenaan.
“Sebagai parti yang paling ramai ahli parlimen ‘katak’, suara wakil parti Bersatu sepatutnya boleh menerangkan sebab-sebab mengapa ramai yang ‘melompat’ masuk parti itu.
“‘A voice of experience vs a voice of conscience?’ (suara berdasarkan pengalaman berbanding suara daripada kata hati),” katanya menerusi Facebook.
Dalam pada itu, Shahrir juga mempersoalkan apa kaitan antara kekecewaan Perikatan Nasional (PN) terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sehingga Ahli Parlimen Bersatu bertindak demikian.
“Ada kaitan ke di antara kekecewaan PN terhadap ketidaksungguhan PM memenuhi perjanjian rahsia dengan keengganan wakil Bersatu membahas RUU anti-lompat parti?,” soalnya.
Semalam, Dewan Rakyat mencatat sejarah apabila Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan Ahli Parlimen bertukar parti, diluluskan dengan sokongan majoriti lebih dua pertiga.
RUU itu selesai dibahaskan selama dua hari, bermula jam 12 tengah hari kelmarin hingga jam 4 petang semalam.
Bagaimanapun, selepas hampir 10 jam sesi perbahasan berlangsung, tiada seorang pun dalam kalangan sembilan Ahli Parlimen Bersatu yang tidak menganggotai pentadbiran kerajaan, berdiri membahaskan RUU terbabit. – Malaysiapost

