RUU Anti Lompat Parti bakal kembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi

0
2

SETIAUSAHA Agung DAP, Anthony Loke berharap pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti yang diluluskan hari ini, dapat mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi.

Beliau berkata, peristiwa itu mencatatkan sejarah apabila semua Ahli Dewan Rakyat yang hadir bersetuju untuk meminda Perlembagaan Persekutuan untuk melarang perbuatan melompat parti.

“Diharap pindaan hari ini akan mengembalikan keyakinan rakyat Malaysia terhadap sistem demokrasi kita,” katanya ringkas di Facebook.

Tinjauan di akaun media sosial mendapati, rata-rata pemimpin kerajaan dan pembangkang menzahirkan rasa gembira dan bersyukur dengan kelulusan pindaan berkenaan yang sekali gus mencipta sejarah baharu buat negara.

Sementara itu, Naib Presiden Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, beliau berharap selepas ini tiada lagi Ahli Parlimen yang melompat parti.

“Alhamdulillah sejarah dicipta pada hari ini. Tiada lagi katak melompat dalam Parlimen.

“Semoga ini dapat mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap sistem demokrasi negara kita,” katanya.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong pula berkata, keputusan itu menunjukkan kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang dapat bersama-sama mencapai kata sepakat demi kebaikan rakyat serta negara secara keseluruhannya.

“Diharapkan RUU ini dapat memelihara mandat rakyat dan menjadi benteng kepada kestabilan negara buat jangka masa panjang.

“Saya juga yakin RUU ini bersifat progresif dan baik untuk menyuburkan sistem demokrasi di Malaysia. Terima kasih juga buat semua Ahli Parlimen yang menyokong,” katanya.

Terdahulu, Dewan Rakyat mencatat sejarah hari ini apabila meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti, dengan majoriti melebihi dua pertiga.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun sewaktu membacakan keputusan itu berkata, seramai 209 Ahli Dewan Rakyat bersetuju, manakala 11 lagi tidak hadir dalam bacaan kali ketiga usul berkenaan hari ini.

“Ini adalah keputusan bacaan kali yang ketiga. Undi yang bersetuju ialah 209, tidak hadir 11, maka lebih dua pertiga undi majoriti yang bersetuju,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here