Noor Mousa Bin Azaddin
TRIBUNAL Uighur yang berlangsung di London beberapa bulan lalu adalah manifestasi perjuangan hak asasi manusia. Malaysia menyambut baik usaha tuntutan keadilan pihak antarabangsa terhadap etnik Uighur yang telah lama di tindas secara sistematik melalui satu dialog yang dianjurkan oleh Global Peace Mission.
Namun, sebagai saudara seagama dengan etnik Uighur ianya masih tidak mencukupi. Malaysia harus menyokong sumber maklumat alternatif untuk menghentikan pembisuan penindasan terhadap Uighur ini.
Beberapa organisasi media utama dunia seperti New York Times, CNN, AlJazeera dan TRT membuat pendedahan terhadap sebuah fail yang mengandungi ratusan foto tahanan Uighur bertajuk “The Xinjiang Papers” serta aktiviti dan layanan yang mereka terima di kem tahanan.
Bagaimanapun laporan pendedahan berkenaan telah mendapat respons yang signifikan di Malaysia. Lebih menyedihkan apabila media (termasuk media Malaysia) dilihat terus melupakan pendedahan ini selepas ia dinafikan pentadbiran China, seolah-olah tiada apa yang berlaku. Malah China telah berjaya meneguhkan naratif bahawa Xinjiang sebuah wilayah yang indah, aman damai dan berdaya maju.
Realitinya ialah memang sukar untuk mendapatkan maklumat sebenar dari Xinjiang. Malah tidak banyak maklumat tentang kehidupan di Xinjiang disalurkan menerusi platform media, baik media Malaysia mahupun antarabangsa. Apa yang jelas hanya beberapa media luar negara yang tegar memperjuangkan isu penindasan etnik Uighur seperti TRT (dari Turkiye) dan AlJazeera (dari Qatar).
Beberapa media tempatan (Malaysia) serta NGO-NGO tempatan (Malaysia) dikhabarkan pernah dijemput oleh pemerintah China untuk mengadakan liputan ke Xinjiang. Lawatan turut melibatkan kunjungan ke “sekolah-sekolah” latihan.
Bagaimanapun respons daripada sebahagian wakil media Malaysia menyatakan semua yang dipertontonkan kepada mereka dirancang dengan teliti oleh pemerintah China dan dikhuatiri tidak mengambarkan situasi sebenar di “sekolah-sekolah latihan” berkenaan.
Lawatan mereka diberi layanan kelas pertama. Dari sumber yang dikongsikan, mereka juga tidak digalakkan untuk bercakap dengan sesiapa, kecuali dengan jurucakap yang sudah dilantik dan mempunyai autoriti. Berfoto-foto juga tidak dibenarkan.
Respons ini adalah selari dengan laporan-laporan antarabangsa yang mendakwa apa yang dipertontonkan kepada mereka bukan seperti realiti sebenar.
Oleh itu, saya meminta kerajaan memberikan sokongan yang berterusan kepada media, baik media Malaysia dan antarabangsa, NGO-NGO serta individu perseorangan yang berani untuk terus membongkar kekhilafan China terhadap etnik Uighur ini, supaya rakyat Malaysia dan dunia terus cakna tentang penindasan yang disenyapkan ini.
Pembisuan kepimpinan Malaysia terhadap saudara seagama kita di Xinjiang sangat mengecewakan, memandangkan Malaysia dipimpin oleh barisan pemimpin Islam.
Keengganan Malaysia untuk bersuara soal Uighur, di sebalik ketegasan kita terhadap isu Palestin bukan sahaja membingungkan, malah menampakkan Malaysia sebagai pilih kasih.
Sudah ada banyak bukti menunjukkan isu kemanusiaan melibatkan masyarakat Uighur di wilayah Xinjing dan perkara ini dikhuatiri akan terus meruncing susulan ketegasan Presiden Xi terhadap amalan agama Islam di negara berkenaan.
Malaysia harus menegur kepimpinan China agar Beijing mengambil pendekatan untuk memelihara kebudayaan dan warisan bukan fizikal yang dimiliki warga Uighur.
Kita bukan meminta China menukar polisi kerana kita faham mengenai sistem komunis yang diamalkan Beijing, tetapi apa yang kita mahu ialah China menghormati hak kemanusiaan jutaan warganya minoriti beretnik Uighur yang beragama Islam dengan menukar pendekatan terhadap warga minoriti, serta menghentikan penganiayaan berterusan terhadap etnik minoriti Islam ini.
Penulis ialah seorang peguam
(Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis, tidak semestinya menggambarkan pendirian Malaysiapost)

