Guna SOSMA tangkap individu tanpa bicara tindakan zalim – Tun M

0
2

TINDAKAN menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi menangkap seseorang tanpa dibicarakan adalah zalim, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, meskipun mahu pemimpin yang melakukan korupsi ditangkap dan disumbat ke penjara, ia mesti melalui proses undang-undang yang sewajarnya mengikut ‘rules of law’.

“Kita patuh kepada ‘rules of law’ mengikut kepada undang-undang.

“Jadi, kalau kita nak tangkap orang walaupun kita ada SOSMA yang mana kita boleh tangkap orang tanpa dibicarakan boleh jatuh hukuman boleh masuk dalam tahanan, itu satu tindakan yang zalim.

“Itu kita tak nak, sepatutnya ada perbicaraan secara tertib dengan diwakili oleh peguam-peguam dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Persidangan Meja Bulat: Penjenamaan Semula Naratif Politik Melayu, di Seri Kembangan, hari ini.

Dr Mahathir berkata, amat malang apabila ada pemimpin politik yang telah dijatuhkan hukuman di mahkamah masih disanjung dan ‘dicium tangan’ oleh orang ramai.

Ujar beliau, rakyat perlu menolak mereka yang mempunyai pertuduhan di mahkamah untuk mewakili mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Kita nak apa juga kesalahan yang dilakukan mesti dihukum melalui mahkamah tetapi, kalau kita ambil tindakan tangkap saja akan berlakulah keadaan yang mana orang yang salah itu menangkap orang yang tak salah.

“Jadi, kita tak capai matlamat kita, kerana kita belum tentu orang yang salah itu ada bukti kesalahan dia,” katanya.

Mengulas mengenai kerajaan Melayu Islam di negara ini, beliau yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, apa yang penting adalah untuk mendirikan kerajaan Melayu Islam yang baik dan bukannya dipimpin penyangak.

Dr Mahathir yang merupakan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) turut menegaskan konsep perpaduan Melayu-Islam tidak akan berhasil jika dipimpin oleh seseorang mempunyai perwatakan yang tidak baik.

“Kita nak dirikan kerajaan Melayu Islam, kena tambah Melayu Islam yang baik bukannya penyangak.

“Perpaduan Melayu jika dipimpin oleh Melayu Islam yang tidak baik akan jadi Melayu Islam yang tak baik,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here