Lompat parti turut babitkan rasuah, penipuan – Anwar Ibrahim

0
2

RANG Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat hari ini tidak memenuhi tuntutan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Pembangkang yang juga Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata RUU Anti Lompat Parti itu adalah antara perkara pokok yang dimeterai dalam memorandum persefahaman (MoU) PH dengan Perdana Menteri.

Menurutnya, PH menetapkan jika ia tidak dibentangkan di Parlimen maka MoU terbatal dan saya mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri kerana menunaikan janji berkenaan.

“Perbincangan diadakan dengan teliti dan apa yang dibentangkan hari ini adalah tidak sepenuhnya memenuhi tuntutan atau usul yang dikemukakan oleh wakil PH dalam mesyuarat.

“Walaubagaimanapun, kita mengambil kira beberapa pandangan lain dan kita anggap ini suatu permulaan yang sangat bermakna serta sangat bersejarah,” katanya ketika membahaskan dan menyokong usul berkenaan di Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar (PH-Port Dickson) berkata, kesan RUU berkenaan bukan sahaja dari segi Perlembagaan, tetapi pengertian moral, integriti Ahli Parlimen yang dianggap sebagai penjual maruah dan pengkhianat kepada amanah rakyat.

Beliau berkata, isu lompat parti bukan sahaja soal belot dan khianat, namun membabitkan rasuah serta penipuan yang perlu diambil tindakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).

“Perkara pembelotan ni bukan baharu. Soalnya bukan belot, khianat atau lompat parti saja, tetapi soal yang harus diketahui oleh perdana menteri dan diperhatikan badan-badan seperti SPRM kerana ia melibatkan rasuah, sogokan dan penipuan.

“Dengan pindaan ini, ia tidak menyelesaikan (masalah). Kita mahu guna pindaan ini untuk tanya SPRM, mengapa janji..sogokan jawatan dan sogokan wang berjuta ringgit dipadamkan dan tidak disiasat,” katanya.

Menurutnya, pindaan Perlembagaan berkenaan memberikan gambaran ada sesuatu yang salah.

Menyentuh Langkah Sheraton yang menyaksikan kerajaan PH tumbang, Anwar berkata, banyak laporan dibuat berhubung tindakan itu namun tidak ada siasatan atau kenyataan susulan dibuat oleh SPRM sehingga kini.

Katanya, jika laporan yang serius terbabit tidak dipertimbangkan, kelemahan bukan sahaja ada dari segi amalan lompat parti, malah wujud kelemahan dalam pengurusan dan kewibawaan badan penguatkuasaan termasuk SPRM.

“Kita juga mahu satu pengajaran kerana ada kesan dan anggapan terutama dalam kalangan anak muda, terhakisnya keyakinan terhadap orang politik dan sistem politik kerana ada yang menganggap pilihlah sesiapa pun, dia boleh dibeli.

“Jadi, orang muda yang menyertai politik dan dilatih untuk memahami Perlembagaan serta prinsip demokrasi, terhakis keyakinannya kerana amalan yang berlaku,” katanya.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun, memperuntukan waktu sebanyak 600 minit untuk kira-kira 55 Ahli Parlimen membahaskan RUU berkenaan pada sesi hari ini dan esok. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here