Bina bangunan lebih selamat, selesa untuk pelajar pondok tahfiz

0
1

Ben Ibrahim

SEMUA pengusaha pondok tahfiz di Pahang perlu menyediakan kemudahan penginapan selamat dan selesa kepada pelajar mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata perkara itu adalah antara keputusan dibuat selepas mesyuarat ahli lembaga pengarah Yayasan Pahang yang dipengerusikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, petang semalam.

“Pembinaan bangunan untuk pelajar pondok sepatutnya mengikut garis panduan ditetapkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kerana ia bertujuan untuk keselamatan pelajar jika berlaku kecemasan.

“Tapi, apa yang jadi masalah sekarang ialah banyak pondok dibina mengikut kemampuan (bajet) yang mereka ada,” katanya.

Syed Ibrahim berkata demikian kepada media selepas menyampaikan bantuan wang tunai RM20,000 sumbangan kerajaan Pahang kepada pemilik pondok tahfiz Al-Imaniyah, dekat Sungai Ular.

Pondok itu terbabit dalam kejadian kebakaran pada 24 Julai lalu yang menyaksikan 33 kediaman pelajar musnah 100 peratus.

Syed Ibrahim memaklumkan, kerajaan Pahang juga sudah meminta Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) melakukan kajian untuk mengenal pasti keperluan pondok berkenaan.

“Kajian ini turut membabitkan JBPM Pahang kerana mereka ada kepakaran dalam menentukan pembinaan yang selamat, jarak antara satu pondok dengan pondok lain dan pelbagai lagi aspek keselamatan,” katanya.

Beliau bagaimanapun memberitahu, proses untuk pembangunan semula pondok yang musnah dalam kebakaran itu memerlukan sedikit masa.

“Benda ini kena kaji dengan teliti kerana banyak perkara yang perlu kita ambil kira.

“Tapi, kita cubalah buat apa yang kita mampu kerana di sini ada kira-kira 100 pelajar, jadi kita nak pastikan mereka dapat terus belajar dalam keadaan selamat dan juga selesa apabila semuanya selesai,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here