LEBIH daripada 14 syarikat sudah dihadapkan ke mahkamah kerana terlibat penyeludupan minyak masak paket bersubsidi ke negara jiran, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid.
Menurutnya, kerajaan juga akan meneliti bagaimana peranan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sebagai pembungkus minyak paket itu bagi membendung masalah ketirisan minyak masak bersubsidi berkenaan.
“Berkaitan ketirisan, setakat ini kita tidak ada indeks, cuma mereka yang telah ditarik balik (lesen/permit) maklumat sehingga kini saya difahamkan lebih daripada 14 syarikat telah melalui proses penghakiman di mahkamah berkaitan ketirisan atau penyeludupan minyak bersubsidi ini ke negara jiran.
“Peranan GLC untuk menjadi pembungkus minyak ini, kita cuba lihat cara bagaimana untuk memastikan mereka boleh menyumbang dalam mengatasi masalah ketirisan ke luar negara,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Rosol (PN-Hulu Terengganu) berkata demikian menjawab soalan tambahan daripada Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) mengenai berapa banyak syarikat didapati menyeleweng minyak masak bersubsidi dan cadangan agar GLC diberikan tanggungjawab membungkus minyak masak paket.
Sementara itu, Datuk Seri Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Baharu) dalam soalan tambahan bertanyakan mengenai usaha kerajaan dalam mengoptimumkan subsidi, memastikan sampai kepada kumpulan sasar dan keberkesanan penguatkuasaan.
Rosol berkata, kementerian akan terus meningkatkan penguatkuasaan, intipan serta sistem audit di semua syarikat yang diberi kebenaran membungkus minyak masak peket berkenaan.
“Ketirisan yang berlaku antaranya dikesan daripada syarikat pembungkusan (minyak peket) kepada luar negara dan ada juga pemborong daripada luar negara.
“Dengan sistem audit yang kita buat ini, kita akan dapat lihat di mana berlaku ketirisan tersebut dan ianya akan dapat diatasi dalam masa terdekat,” katanya. – Malaysiapost

