Lelaki hilang 9 bulan ditemui mati patut nikah bulan ini

0
1

ALLAHYARHAM Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain, 24, yang mayatnya ditemui sembilan bulan selepas hilang sejak 29 Oktober tahun lalu, sepatutnya bernikah dengan tunangnya bulan ini.

Bapa saudara Allahyarham, Azuni Abd Kadir, 47, berkata anak saudaranya itu sudah setahun bertunang dengan pilihan hati sebelum kejadian malang itu.

Katanya, majlis pernikahan Allahyarham pada awalnya dijadualkan berlangsung Januari lalu.

“Namun kerana bapa tunangan Allahyarham baru meninggal dunia kira-kira dua bulan sebelum kehilangannya, keluarga sepakat menunda majlis pernikahannya pada bulan ini.

“Takdir Allah mengatasi segala perancangan kita. Allahyarham tiba-tiba hilang tanpa dapat dikesan sejak 29 Oktober tahun lalu,” katanya memetik Berita Harian.

Kisah kehilangan Muhammad Iman Aqmar menjadi tular di media sosial tahun lalu, apabila adiknya memohon orang ramai mengesan abangnya selepas gagal dikesan.

Muhammad Iman Aqmar bergerak dari Pasir Gudang jam 1.30 pagi pada 29 Oktober ke Terengganu dengan memandu kereta miliknya, sebelum gagal dihubungi keluarga serta majikan.

Semalam polis menemukan satu rangka manusia dalam sebuah kereta yang ditarik keluar dari Sungai Api-Api di Nenasi, Pekan, dipercayai mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak hampir sembilan bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, dilaporkan berkata mayat ditemukan dalam kenderaan Nissan Grand Livina yang dijumpai seorang lelaki warga emas ketika dia mengalihkan besi dari jalan ke tepi sungai berkenaan pada jam 11.40 pagi semalam.

Kenderaan itu mempunyai kerosakan pada bahagian hadapan, kiri dan kanan, selain pemeriksaan di dalamnya menemukan mayat diselaputi lumpur serta pas pekerja yang didaftarkan atas nama Muhammad Iman Aqmar.

Siasatan awal polis terhadap nombor pendaftaran kenderaan mendapati ia dikaitkan dengan laporan kehilangan dibuat di Pasir Gudang, Johor oleh ahli keluarga lelaki bernama Muhammad Iman Aqmar Dzulkarnain.

Rangka mayat itu kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan untuk bedah siasat, manakala kenderaan itu ditarik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan bagi siasatan lanjut.

Dalam pada itu, Azuni berkata, ibu Allahyarham, Asmawati Kadir, 55, bersama waris keluarga yang lain akan ke HTAA esok bagi membolehkan hospital mengambil sampel asid deoksiribonukleik (DNA) mereka untuk dibandingkan dengan rangka yang ditemui.

“Jika proses DNA berjalan lancar dan selesai awal esok, rangka Allahyarham akan dibawa pulang ke Pasir Gudang petang esok bagi dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Putih.

“Insya-Allah pengebumian akan dibuat sama ada petang esok juga atau pagi Selasa,” katanya.

Azuni berkata, ibu Allahyarham dan waris dijadualkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan untuk bertemu polis selain melihat kenderaan Allahyarham.

“Kami menunggu panggilan dari IPD untuk ke sana petang nanti,” katanya. – Malaysiapost

Kunjungi bahagian Resam Hidup untuk baca cerita yang terkini dan menarik

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here