DAP kecewa kerajaan enggan wujud Dana Penstabilan Harga RM5 bilion

0
2

DAP kesal dengan keputusan kerajaan yang enggan mewujudkan Dana Penstabilan Harga RM5 bilion untuk mengekang inflasi dan kenaikan harga barang.

Pengerusinya Lim Guan Eng, berkata menyelesaikan isu kekurangan buruh, mewujudkan dana penstabilan harga, memperkukuh ringgit dan menamatkan flip-flop polisi adalah langkah yang diperlukan untuk memperlahankan kenaikan harga.

Beliau berkata, pengukur inflasi Malaysia, indeks harga pengguna (IHP), meningkat 3.4 peratus pada Jun 2022 berbanding tahun sebelumnya yang disumbangkan oleh kenaikan harga makanan sebanyak 6.1 peratus, tidak menggambarkan keadaan sebenar.

Katanya, Indeks harga pengeluar Jun yang akan diumumkan, yang meningkat sebanyak 11.2 peratus pada Mei, akan mencerminkan gambaran yang lebih tepat tentang keadaan semasa.

“Tanpa Dana Penstabilan Harga, pengukuhan ringgit, menyelesaikan masalah kekurangan pekerja dan menamatkan flip-flop dasar kerajaan, kos sara hidup akan terus meningkat.

“Selain itu, B40, M40 dan PKS akan terjejas teruk kerana tiada bantuan kerajaan ditawarkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Guan Eng mendakwa tindakan kerajaan memberi subsidi RM1 bilion kepada penternak ayam untuk menstabilkan harga ayam dan telur pada harga kawalan, sehingga Ogos 2022 dijangka tidak akan menyelesaikan masalah berkenaan.

“Sungguhpun begitu, kekurangan bekalan masih dijangka akan berlaku kerana ayam dan telur masih dijual di bawah kos.

“Ini berikutan peningkatan input pengeluaran makanan global seperti jagung (14.8%), gandum (60.9%) dan kacang soya (19.9%), yang merupakan komposisi terbesar dalam penyediaan bahan makanan ayam telah menyebabkan harga ayam meningkat sebanyak 17.2 %.

“Harga daging babi juga meningkat sebanyak 14.6% pada bulan Jun berbanding 10.2% pada bulan sebelumnya,” katanya.

Guan Eng berkata, kerajaan terus menafikan tanggungjawab dengan menyalahkan kenaikan harga makanan disebabkan peningkatan input pengeluaran makanan akibat perang di Ukraine.

Selain masalah kekurangan bekalan, gangguan dalam rantaian bekalan yang disebabkan oleh sekatan pergerakan Covid-19 di China dan kos logistik yang tinggi.

“Bagaimanapun, tidak disebutkan kesan negatif daripada kejatuhan nilai ringgit dan kekurangan buruh yang teruk dalam meningkatkan kadar inflasi.

“Kejatuhan ringgit hanya menambah kos import kepada perniagaan, manakala kekurangan buruh yang teruk bukan sahaja menjejaskan pertumbuhan ekonomi, dengan perniagaan tidak berani menerima tempahan baharu tetapi juga meningkatkan kos buruh,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, berbanding dua rakan dagangan terbesar negara, ringgit telah jatuh ke paras terendah dalam tempoh lima tahun berbanding dolar AS.

“(Ringgit jatuh) pada hari Selasa kepada RM4.46 manakala berbanding dolar Singapura meningkat sedikit daripada rekod terendah pada RM3.21.

“Penurunan nilai ringgit berbanding dua daripada tiga rakan dagangan terbesar negara iaitu AS dan Singapura, hanya akan menyebabkan inflasi meningkat,” katanya.

Malah, menurut Guan Eng, petunjuk betapa teruknya keadaan semasa boleh dilihat dengan harga 5kg minyak masak pada RM19 semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) tetapi kini dijual pada harga lebih RM45.

Katanya, kerajaan cuba membayangkan bahawa walaupun kadar inflasi telah meningkat kepada 3.4 peratus pada Jun, ia masih lebih rendah berbanding dengan 5.6 peratus di Singapura.

“Perbandingan sedemikian tidak bermakna apabila Pariti Kuasa Membeli (PPP) per kapita Singapura hampir kali ganda lebih tinggi berbanding Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here