Cabaran pemain tempatan bersaing 9 pemain import dalam pasukan

0
2

PEMAIN bolasepak tempatan bakal menghadapi cabaran besar dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan berikutan langkah Malaysian Football League (MFL) membenarkan pasukan mendaftar sehingga sembilan pemain import. 

Perkara ini diakui penjaga gol pasukan Penang FC, Hafizul Hakim yang berkata, sembilan pemain import itu merupakan jumlah yang cukup besar namun pemain tempatan perlu membuktikan kemampuan untuk mempamer prestasi yang setara atau lebih baik daripada pemain import. 

“Jumlah sembilan import adalah suatu yang besar, lima import buat masa sekarang pun sudah cukup banyak.

“Tetapi ini merupakan keputusan daripada MFL, jadi pemain tempatan perlu buktikan kemampuan dan biar jurulatih membuat keputusan untuk memilih,” katanya dipetik portal Harimau Malaya.

Semalam, MFL mengumumkan penstrukturan Liga Malaysia baru, Liga Super akan menyaksikan penambahan pasukan kepada 18 pasukan dengan setiap pasukan boleh mendaftarkan enam pemain import.

Manakala baki tiga lagi pemain import adalah untuk saingan Liga Simpanan (B-23) yang mana hanya lima pemain lebih umur termasuk tiga pemain import (hanya dua pemain import dibenarkan berada di atas padang) boleh didaftarkan.

Bagaimanapun Hafizul, menyambut baik langkah penganjuran Liga Simpanan yang akan diperkenalkan pada musim 2023.

“Saya rasa ia merupakan satu tindakan yang baik kerana perlawanan akan menjadi lebih banyak dan akan membuka peluang pemain untuk mendapatkan jumlah permainan yang lebih banyak.

“Ini juga memberi kelebihan kepada pasukan kebangsaan yang akan mempunyai lebih ramai pemain yang sering beraksi di dalam liga,” katanya. 

Liga Simpanan akan dibarisi oleh pemain B-23 setiap pasukan Liga Super dan perkara ini akan menjadi solusi terbaik dalam meningkatkan minit permainan bagi kebanyakan pemain muda di Malaysia. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here