DATUK Seri Najib Razak menyangkal dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamd bahawa projek dilaksanakannya ketika menjadi Perdana Menteri terlalu mahal sekali gus menyebabkan Malaysia semakin ketinggalan berbanding negara jiran.
Ahli Parlimen Pekan itu, berkata dalam kenyataan hari ini, Dr Mahathir mendakwa projek yang dilaksanakan beliau terlalu mahal selain ia tidak diperlukan selain negara sudah bankrap.
Bagaimanapun, Najib membidas perkara itu dengan membandingkan projek keretapi laju yang dibangunkan negara jiran seperti Indonesia dan Thailand.
“Secara khusus dia (Dr Mahathir) petik projek keretapi laju HSR Kuala Lumpur ke Singapura. Dia kata HSR ini tidak diperlukan sebab jaraknya terlalu pendek. Baiklah..
“HSR pertama Indonesia ialah dari Jakarta ke Bandung yang dijangka siap pada tahun depan (2023) = jarak 142km.
“HSR pertama Thailand ialah dari Bangkok ke Nakhon Ratchasima dan dijangka siap pada tahun 2026 = jarak 253 km
“(Manakala), HSR pertama Malaysia dari Kuala Lumpur ke Singapura yang ditangguh oleh kerajaan PH dan dibatalkan kerajaan PN = jarak 350km,” katanya menerusi Facebook.
Jelas Najib, HSR KL-Singapura bakal menguntungkan negara kerana mempunyai permintaan tinggi dan sektor penerbangan KL-Singapura merupakan antara paling sibuk dalam dunia.
Menurut Najib, projek mega itu juga akan memajukan pembangunan negeri di Selatan Semenanjung yang dilalui landasan HSR, selain menawarkan tambang lebih murah, menyenangkan rakyat dan mampu memajukan sektor pelancongan.
“Ini kerana Singapura merupakan hab penerbangan antarabangsa yang dikujungi ramai pelancong antarabangsa. Dari segi pulangan ekonomi projek ini sangat besar melebihi RM500 bilion pada tahun-tahun mendatang.
“Malah, pembangunan Johor Baharu, Iskandar Puteri, Batu Pahat, Muar, Melaka, Seremban, Putrajaya dan Kuala Lumpur mendapat manfaat besar,” katanya.
Malangnya, Najib berkata, Dr Mahathir tidak faham perkara itu selain lebih berminat untuk membuat kereta nasional ketiga dan projek kereta terbang.
“Sebab itu, keretapi laju tidak diperlukan. Rakyat boleh terbang ke sini ke sana dengan memandu kereta terbang.
“Lepas itu, Tun M pula berulang meratib negara sudah bankrap bawah Najib. Entahlah pelabur mana yang mahu labur dalam negara sekiranya Perdana Menteri sendiri selalu ratib negara sudah bankrap,” katanya. – Malaysiapost

