PENDAKWAH, Firdaus Wong Wai Hung membidas seorang pengguna Facebook, dikatakan berstatus pengerusi sebuah kem tahfiz kerana seakan mempersenda mangsa dalam kes rogol melibatkan seorang penceramah.
Menerusi satu hantaran di Facebooknya, Firdaus berkata jika benar pengguna media sosial menggunakan nama Ezzat itu pengerusi tahfiz, maka status tersebut amat mendukacitakan.
“Saudara Ezzat juga merupakan seorang suami dan Insya-Allah mungkin juga seorang ayah. Tergamak Ezzat berkata begini?
“Apa sahaja hubungan seksual dengan individu bawah umur adalah rogol walaupun suka sama suka!
“Isunya bukan sama ada suka sama suka tetapi bagaimana boleh seseorang yang mempunyai kedudukan dan ilmu agama mengadakan hubungan seksual dengan gadis bawah umur andai suka sama suka sekalipun,” soal Firdaus.
Pendakwah itu seterusnya berkata, cara berfikir Ezzat sangat bermasalah apatah lagi sebagai Muslim ada hukum, adab dan akhlaknya.
“Ini kita belum masuk sexual grooming dan predator seksual lagi.
“Jikalau tidak boleh bersimpati kepada mangsa, maka ikutlah hadis Nabi Sallalahu Alaihi Wasalam iaitu berkata baik ataupun diam,” katanya.
Firdaus turut berkongsi tangkap layar hantaran Facebook Ezzat, antara lain menyebut “Berkali-kali hebat juga, ustaz yang hebat atau gadis 14 tahun tu yang hebat”.
“Ada kemungkinan juga ustaz ini yang dirogol oleh gadis tersebut,” tulis Ezzat pada hantaran tersebut.
Kelmarin, polis mengesahkan seorang penceramah bebas popular ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kes merogol remaja perempuan berusia 14 tahun.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi Subramaniam, berkata suspek berusia 30-an itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor.
Sasikala berkata, siasatan mendapati mangsa berkenalan dengan suspek yang juga warga tempatan sejak Mei tahun lalu.
“Bermula daripada perkenalan itu, pengadu dan suspek beberapa kali melakukan hubungan intim di beberapa lokasi berbeza,” katanya. – Malaysiapost

