Anwar kesal DUN Sabah lulus kenaikan saraan Ketua Menteri, ADUN

0
1
anwar ibrahim

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa kesal dengan keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan usul untuk menaikkan saraan Ketua Menteri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan anggota pentadbiran negeri yang lain.

Anwar yang juga Presiden PKR, berkata keputusan itu tidak sepatutnya diteruskan dalam keadaan rakyat sedang bergelut dengan permasalahan kos sara hidup yang tinggi.

“Saya ambil maklum keputusan DUN Sabah meluluskan usul menaikkan saraan Ketua Menteri, ADUN dan anggota pentadbiran negeri yang lain.

“Saya kesal dengan keputusan ini sedangkan rakyat sedang bergelut dengan permasalahan kos sara hidup yang tinggi,” katanya dalam kenyataan.

Ahli Parlimen Port Dickson itu juga mengingatkan semua pemimpin agar sentiasa mementingkan kebajikan rakyat berbanding kepentingan diri mereka, terutamanya waktu yang sukar ini.

“Saya menggesa agar keputusan ini tidak diteruskan dengan mengambilkira kesusahan dan kepayahan rakyat,” katanya.

Semalam, persidangan DUN Sabah meluluskan usul untuk menaikkan saraan Ketua Menteri, ADUN dan anggota pentadbiran negeri yang lain.

Usul untuk Rang Undang-Undang Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan (Saraan) (Pindaan) 2022 dicadangkan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor itu telah diluluskan dengan suara terbanyak.

Dengan kelulusan itu, saraan Ketua Menteri yang sebelum ini RM23,595 sebulan dinaikkan kepada RM33,033; Timbalan Ketua Menteri RM20,872.50 (RM29,221.50) dan menteri RM16,335 (RM22,869).

Sementara itu, Speaker DUN RM16,335 (RM22,869); Pembantu Menteri RM12,705 (RM17,787); Timbalan Speaker DUN RM12,705 (RM17,787); ADUN RM7,950 (RM11,130) dan Setiausaha Politik RM5,445 (RM7,623). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here