Rampasan kegiatan seleweng diesel bersubsidi bernilai RM1.7 juta

0
1

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menahan sembilan lelaki termasuk seorang warga Bangladesh dan merampas lebih 100,000 liter diesel bersubsidi yang dipercayai diseleweng dalam serbuan sebuah premis di Kampung Baru Subang, Shah Alam, semalam.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, serbuan jam 11 malam itu dijalankan bersama Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas (CPSK) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, enam kenderaan turut disita membabitkan empat lori tangki dan dua kereta, selain enam tangki minyak diesel berisi 40,300 liter diesel.

“Berdasarkan siasatan awal di lokasi serbuan, anggaran jumlah keseluruhan minyak diesel yang dirampas membabitkan kenderaan dan tangki minyak yang dijumpai adalah melebihi 100,000 liter dengan anggaran nilai lebih RM200,000.

“Lain-lain peralatan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan yang dirampas adalah pam penyedut bahan api dan telefon bimbit individu yang ditahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, anggaran keseluruhan nilai rampasan dalam kes berkenaan adalah RM1.7 juta dan semakan mendapati premis serta individu yang ditahan tidak mempunyai sebarang lesen atau permit atau permit khas atau surat kebenaran dari Pengawal Bekalan bagi berurusan dengan Barang Kawalan Berjadual.

“Siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 21 dan Seksyen 20 (1)) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here