Isu lumba haram perlu segera ditangani secara total – Ahmad Zahid

0
1

PERMASALAHAN berkaitan lumba haram perlu dilihat secara holistik dan realistik termasuk secara lebih mendalam dalam aspek psikologi, kata Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, masalah berkenaan bukanlah sesuatu yang baru dan sudah terlalu banyak diperkatakan serta peruntukan undang-undang mengenainya juga sangat jelas dan sangat tegas.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, terdapat Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga lima tahun dan denda minimum RM5,000 serta hilang kelayakan lesen selama dua tahun.

“Malangnya gejala yang amat berbahaya kepada keselamatan pengguna jalan raya ini masih berleluasa.

“Justeru dalam mendalami isu ini kita tidak lagi boleh beretorik dan perlu melihatnya secara holistik dan realistik. Ia perlu ditangani di peringkat yang paling asas,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Ahmad Zahid mengulas mengenai kemalangan membabitkan beberapa penunggang motosikal di lebuh raya Tun Dr Lim Chong Eu, Pulau Pinang, kelmarin yang mengorbankan lima nyawa termasuk seorang disahkan meninggal dunia jam 2.15 petang tadi.

Beliau berkata, secara umum terdapat dua kategori perlumbaan haram iaitu lumba haram untuk mendapatkan ganjaran dan tanpa ganjaran.

Katanya, lumba haram untuk ganjaran perlu ditangani dengan suatu hukuman yang lebih tegas terhadap penganjur termasuk Penguatkuasaan Perintah Tahanan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

“Lumba haram tanpa ganjaran lebih menjurus kepada aspek hiburan. Berlumba sekadar untuk kepuasan diri.
Ini adalah permasalahan paling utama kerana melibatkan aspek minat dan kecenderungan.

“Barangkali sudah tiba masa untuk kita melihat keadaan ini secara lebih mendalam dalam aspek psikologi,” katanya.

Menurutnya, minat kepada sukan perlumbaan motosikal bukan sesuatu yang salah, namun ia menjadi kesalahan apabila minat itu disalurkan di platform yang tidak sepatutnya iaitu di jalan raya.

Beliau berpendapat, jika disediakan platform yang khusus dengan ciri-ciri standard keselamatan mungkin gejala lumba haram dapat dikurangkan.

“Program penerangan tentang insiden kemalangan akibat lumba haram perlu kerap diadakan dari semasa ke semasa dan penguatkuasaan terhadap bengkel melakukan pengubahsuaian motosikal untuk lumba haram.

“Suatu mekanisme dalam mengenali bengkel tidak bertanggungjawab seperti ini perlu diwujudkan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, peranan keluarga juga adalah amat penting dan mereka perlu didedahkan dengan maklumat yang berkaitan seperti ciri-ciri motosikal yang kebiasaannya telah diubah suai untuk digunakan dalam lumba haram.

“Dengan demikian ibu bapa dapat memantau kemungkinan anak mereka terlibat dalam lumba haram. Kita tidak boleh berlengah lagi dalam mendepani gejala ini secara total. Setiap nyawa adalah amat berharga,” katanya.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here