Aiman Hanif
TIMBALAN Presiden PKR, Rafizi Ramli menegaskan meskipun dia kerap mengkritik kepimpinan parti, namun tidak berperangai seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mengkhianati parti.
Di hadapan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Rafizi menegaskan bahawa beliau bukanlah jenis yang manis dibibir tetapi tikam di belakang.
“Saya mungkin lantang, tapi saya bukan Azmin Ali saudara saudari…Saya telah buktikan saya tak berminat dengan jawatan menteri atau jawatan awam.
“Semasa Pakatan Harapan (PH) menang 2018, saya menjadi ahli biasa seperti saudara saudari.
“Saya bukan jenis manis dibibir tikam di belakang. Masa Anwar masuk penjara saya tak pernah janji nak rempuh pecah tembok penjara,” katanya ketika menyampaikan ucapan sulung pada Kongres Nasional ke-16 PKR di Shah Alam, hari ini.
Semalam, Rafizi secara terbuka mengkritik kepimpinan Anwar selaku Presiden PKR dengan menyifatkan populariti pemimpin utama PKR itu making pudar.
Rafizi berkata pemimpin PKR tidak perlu membodek Anwar dengan mempertahankan pemimpin utama itu apabila dikritik.
Bagaimanapun bekas Ahli Parlimen Pandan itu tetap berpegang kepada ketetapan untuk mengakat Anwar sebagai Perdana Menteri.
“Saya memang tak angkat, tak julang, tak puji. Kalau Presiden nak kecil hati kcecil hati lah. Tapi saya harap saya dihakimi dan diadili dengan kerja saya.
“Sebab ini janji saya pada pimpinan dan parti, saya akan terus bercakap macam ini, mulut saya tak kan manis sampai bila-bila,” katanya.-Malaysiapost

