Aiman Hanif
UMNO masih belum menerima sebarang surat dari Jabatan Pendaftaran Negara (ROS) berhubung keputusan permohonan parti itu bagi menangguhkan pemilihan parti.
Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan kepada Malaysiapost malam tadi.
“Belum (terima surat ROS),” katanya ringkas kepada Malaysiapost malam tadi melalui aplikasi What’s App.
Ahmad berkata demikian ketika ditanya sama ada telah menerima sebarang surat dari ROS.
Terdahulu Malaysiapost melaporkan ROS dikatakan telah meluluskan permohonan Umno bagi menangguhkan pemilihan parti selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) seperti mana diluluskan dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) sebelum ini.
Menurut sumber dalaman, perkara itu juga telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan ia akan diumumkan dalam masa terdekat oleh ROS.
“ROS telah meluluskan permohonan Umno untuk menangguhkan pemilihan parti seperti mana diluluskan dalam PAU sebelum ini.
“Surat mengenai keputusan ini sudah pun siap dan menunggu masa untuk diumumkan ROS dalam masa terdekat nanti.
“Saya difahamkan Perdana Menteri telah dimaklumkan mengenai perkara ini,” katanya kepada Malaysiapost.

