JABATAN Peguam Negara (AGC) mengesahkan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, ada membuat tawaran penyelesaian dengan kerajaan Malaysia.
AGC dalam kenyataan berkata, wakil Jho Low telah bertemu dengan beberapa agensi kerajaan Malaysia termasuk jabatan itu, namun semua tawaran tersebut telah ditolak, lapor MalaysiaKini.
“AGC mengesahkan bahawa dalam tahun ini, Jho Low melalui wakilnya telah membuat percubaan untuk mendapatkan satu penyelesaian dengan kerajaan Malaysia.
“Dalam percubaan ini, wakil Jho Low telah bertemu dengan beberapa agensi kerajaan Malaysia termasuk AGC.
“Kesemua tawaran penyelesaian daripada wakil Jho Low telah ditolak oleh AGC,” menurut kenyataan itu.
Semalam, laporan The Edge yang memetik sumber antara lain menyatakan kerajaan telah menolak tawaran Jho Low sebanyak RM1.5 bilion untuk menyelesaikan pertuduhan terhadapnya.
Laporan itu juga mendakwa bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali menjadi wakil bagi pihaknya.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberitahu beliau tidak mengetahui tentang perkara itu.
Jho Low yang kini dalam pelarian dan lokasinya tidak diketahui umum, berhadapan sejumlah pertuduhan di Malaysia termasuk pengubahan wang haram dan terlibat dalam konspirasi jenayah.
Namun, Jho Low berulang kali mendakwa dia tidak bersalah dan pada wawancara 2020 mendakwa hanya menjadi perantara dalam urusan 1MDB. – Malaysiapost

