BEKAS Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Wan Saiful Wan Jan berharap perbadanan itu tidak dijadikan bahan politik pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Wan Saiful yang tamat kontraknya sebagai Pengerusi PTPTN pada 17 Jun lalu berkata, PTPTN tidak wajar dijadikan bahan politik yang boleh mencetuskan satu lagi skandal mirip 1MDB.
“Saya juga berharap PTPTN tidak dijadikan isu politik dalam PRU15 nanti. Jangan jadikan PTPTN bola sepak politik sehingga ia menjadi satu lagi skandal seperti 1MDB. Nanti kosnya tinggi kepada negara,” katanya di Facebook, hari ini.
Menjelaskan mengenainya, Ketua Penerangan Bersatu itu telah mendedahkan, beliau telah mewarisi hutang PTPTN yang banyak ketika hari pertama beliau dilantik menjadi pengerusi pada 18 Jun 2018 lalu.
“Hutang dan kos dana yang saya warisi akibat dari model operasi songsang yang mereka tinggalkan melebihi RM40 bilion.
“Saya telah merangka cara untuk PTPTN keluar dari masalah tersebut. Selepas ini ia perlu dilaksanakan dengan tegas. Saya tak mahu PTPTN jadi bahan ahli politik yang cari glamor murah.
“Sebab itulah saya tidak pernah menjawab provokasi politik murahan mereka. Biarlah rakyat menilai perangai buruk mereka. Pembinaan modal insan negara adalah satu perkara yang terlalu amat penting dan berharga,” katanya.
Wan Saiful turut mengakui selama empat tahun meneraju PTPTN, beliau sering mengelak menjawab kritikan berbaur politik terhadap PTPTN terutamanya daripada bekas Pengerusi PTPTN Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
“Sepanjang saya menjadi Pengerusi, ada juga beberapa kali orang politik cuba menjadikan PTPTN sebagai isu politik.
“Saya sentiasa mengelak dari menjawab mereka walaupun individu seperti Shamsul Anuar Nasarah dan Asyraf Wajdi dan beberapa orang lagi banyak membuat provokasi murahan.
“Saya tegas dengan pandangan bahawa PTPTN rosak sehingga menjadi bom jangka kepada kewangan negara kerana ada ahli politik tidak bertanggungjawab yang mempergunakan PTPTN untuk faedah politik jangka pendek,” katanya.
Bagaimanapun Wan Saiful berkata, beliau bangga diberi peluang berkhidmat di PTPTN.
“Sepanjang empat tahun memimpin PTPTN, saya bangga dengan pencapaian yang dapat diusahakan, walaupun saya juga tahu bahawa banyak lagi yang perlu terus ditambahbaik oleh pengurusan selepas ini,” katanya. -Malaysiapost

