Tuntutan Sulu: Kerajaan digesa keluar kenyataan rasmi, rakyat berhak tahu

0
1
Pejabat Perdana Menteri (PMO)

KERAJAAN perlu membuat penjelasan menerusi kenyataan rasmi berhubung tuntutan tertunggak waris kesultanan Sulu terhadap Malaysia. 

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, rakyat berhak untuk mengetahui kedudukan sebenar bagaimana perkara itu boleh tercetus. 

“Ada yang menyalahkan kerajaan di bawah Barisan Nasional (BN) kerana menghentikan bayaran sebelum ini sehingga menyebabkan berlakunya tunggakan. 

“Tidak kurang yang berhujah bahawa tuntutan semula tersebut berpunca dari kecuaian dan tindakan Pakatan Harapan (PH) semasa 22 bulan mereka memerintah yang sengaja membuka semula ruang tuntutan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Mohamed Khaled berkata, isu tuntutan pampasan tertunggak waris Kesultanan Sulu ke atas kerajaan Malaysia sedang hangat dibahaskan sekali gus kerajaan perlu menjelaskannya dengan telus tanpa berbaur politik dan diolah mengikut kepentingan pihak-pihak tertentu.

“Setiap pihak mempunyai perspektif dan versi masing-masing. Ada yang bersandarkan fakta dan ada yang sekadar merujuk kepada kompilasi laporan akhbar dan kenyataan-kenyataan pemimpin sebelum ini.

“Kesemua ini sudah tentulah mengelirukan rakyat. Kita tidak tahu versi manakah yang harus dipegang. Paling penting, versi mana satukah yang benar dan terpakai.

“Tidak ada cara lain yang lebih absah dan sahih melainkan kenyataan rasmi daripada pihak kerajaan. Pihak kerajaan, Pejabat Peguam Negara khususnya, mesti tampil memberikan penjelasan rasmi yang lengkap, telus dan tulus berhubung perkara ini,” katanya. 

Selain itu, Mohamed Khaled menjelaskan, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk menubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119). 

“RCI adalah forum paling neutral dan terbuka dalam meneliti serta mencari kebenaran dalam isu-isu berkepentingan nasional.

“Kita sudah mempunyai pengalaman menggunakan RCI dalam banyak isu nasional. Misalnya RCI pada tahun 2012 berkenaan isu pendatang haram di Sabah, RCI tahun 2018 berkaitan penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis serta RCI tahun 2022 berkenaan pengurusan dan operasi Tabung Haji,” katanya. 

Justeru, Mohamed Khaled menegaskan, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu melihat isu ini dalam konteks yang besar, berani dan profesional. 

“Biar apa pun instrumen dan pendekatan yang dipilih oleh kerajaan akhirnya, matlamat dan fokus utama kita adalah memberikan maklumat dan pencerahan yang lengkap dan selayaknya kepada masyarakat awam.

“Kegagalan berbuat demikian pasti akan menyemarakkan perbalahan dalam kalangan banyak pihak. Terutamanya mereka yang tidak akan berhenti mengeluarkan versi dan dakwaan masing-masing berhubung perkara ini.

“Lebih penting, seperti yang pernah kita alami dan saksikan sebelumnya, isu ini berpotensi menjadi ancaman keselamatan yang serius. Bersuaralah dan berilah pencerahan demi negara,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here