Budak 11 tahun maut dipercayai dibunuh ibu

0
1

SEORANG kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun ditemui meninggal dunia di sebuah rumah di Taman Bukit Tropika, Yong Peng, Batu Pahat, Johor semalam, dipercayai dibunuh oleh ibunya.

Mangsa yang maut itu didapati mempunyai luka di dahi dan kesan jerut di bahagian leher dalam kejadian jam 4.55 petang itu.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata siasatan awal mendapati tiada kesan kecederaan lain pada badan mangsa. 

“Keterangan saksi sudah diambil untuk mendapatkan gambaran sebenar kejadian,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Kamarul Zaman berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Katanya, seorang wanita berumur 34 tahun iaitu ibu mangsa ditahan untuk siasatan lanjut.

“Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat dan kita mendapat perintah reman tujuh hari sehingga 21 Julai ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here