Bukan sekali dua Islam, kaum jadi bahan lawak jenaka – Asyraf Wajdi

0
3

KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bersetuju dengan gesaan agar pihak berkuasa menutup terus Kelab Komedi Crackhouse yang didakwa menyajikan persembahan menghina Islam dan menyentuh sensitiviti kaum.

Beliau berkata, tindakan tegas perlu diambil sebelum kelab-kelab komedi yang lain menggugat keharmonian dan kerukunan hidup masyarakat majmuk di Malaysia.

“Bukan sekali dua Islam dan perihal kaum tertentu dijadikan bahan lawak jenaka dan komedi oleh Crackhouse Comedy Club.

“Melihat beberapa sedutan babak lawak yang dipersembahkan di YouTube, amat ketara kebiadaban kelab ini yang mencari keuntungan menggunakan pendekatan mempersendakan agama dan menyemaikan benih kebencian kaum secara halus,” katanya dalam hantaran Facebook.

Semalam, Persatuan Pengguna Semboyan 1 Malaysia (Semboyan Malaysia) menggesa pihak berkuasa menutup terus Kelab Komedi Crackhouse yang didakwa menyajikan persembahan lawak jelik dan menyentuh sensitiviti agama serta kaum.

Menurut Pengerusi Semboyan Malaysia Yusuf Azmi, tindakan itu perlu diambil supaya menjadi iktibar kepada pemilik kelab-kelab komedi di seluruh negara agar lebih sensitif terhadap keharmonian agama dan bangsa dalam berjenaka.

Katanya, gesaan dibuat bukan berdasarkan satu video yang tular melibatkan seorang pelawak wanita yang membuka baju dalam persembahannya, malah pemilik kelab tersebut yang dikenali sebagai Rizal didakwa telah berulang kali memuat naik kandungan video jelik yang menghina dan menyindir komuniti di Malaysia.

Sebelum ini, tular rakaman video wanita mempersendakan Islam dalam persembahan komedi berdiri di sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail.

Dalam video berdurasi 54 saat itu, wanita berkenaan pada mulanya bertudung dan memakai baju kurung mendakwa telah menghafal 15 juzuk al-Quran, menanggalkan pakaian sehingga mencolok mata. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here