SEORANG wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) daripada Amanah semalam menghantar satu usul tergempar kepada Speaker Dewan Rakyat berkaitan dua anak syarikat Petronas di Luxembourg dirampas oleh waris kesutanan Sulu.
Menurut Ahli Parlimen Pulai, Datuk Salahuddin Ayub perkara itu wajib dijawab oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan mesti dibahaskan pada sidang Parlimen yang akan datang.
“Rakyat wajar mendapat penjelasan berkaitan perkara ini memandangkan ia adalah aset negara kita,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Semalam Petronas mengesahkan kedua-dua anak syarikatnya, Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) S.à r.l. dan Petronas South Caucasus S.à r.l. seperti dilaporkan dirampas waris kesultanan Sulu, menerima notis ‘Saisie-arret’ kelmarin.
Syarikat petroleum Malaysia itu berkata, kedua-dua anak syarikat itu, melupuskan semua aset di Republik Azerbaijan dan hasil dari pelupusan itu telah dipulangkan dengan sewajarnya.
Waris Sultan Sulu sebelum ini menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) dari Malaysia melalui satu prosiding timbang tara antarabangsa di Madrid, Sepanyol.
Berdasarkan laporan Financial Times yang berpangkalan di London, pasukan peguam penuntut merampas dua anak syarikat milik Petronas yang diperbadankan di Luxemborg iaitu Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus yang dianggar bernilai AS$2 bilion (RM8.9 bilion). – Malaysiapost

