Maritim gagalkan cubaan bot penyeludup masuk perairan negara

0
1

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia, (Maritim Malaysia) Negeri Selangor berjaya menghalang dan menggagalkan usaha sebuah bot pancung dari Indonesia yang disyaki cuba menyusup masuk bagi tujuan menyeludup barang terlarang ke Malaysia.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata maklumat pengesanan diterima daripada pesawat Bombardier CL415 MP Maritim Malaysia yang melakukan penerbangan pengawasan di Selat Melaka sekitar perairan Tanjung Sepat sekitar jam 2 petang semalam.

Katanya, bertindak atas maklumat itu, Radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) berpangkalan di Area Control Centre (ACC) Klang memantau pergerakan bot suspek dan bot ronda Maritim Negeri Selangor digerakan bagi memintas sasaran.

“Menyedari kehadiran pesawat Maritim Malaysia, bot pancung itu memecut lebih laju (kira-kira 35-45 knot) sehingga kelihatan hilang tujuan dan berpatah kembali memasuki perairan Indonesia.

“Pada jam 3.15 petang, ACC Klang sekali lagi memaklumkan, terdapat sasaran curiga keluar semula dari tempat sama menuju sempadan perairan Indonesia-Malaysia dan bot ronda Maritim Negeri Selangor sekali lagi ke lokasi untuk menyekat sasaran yang disyaki,” katanya dalam kenyataan.

Siva Kumar berkata, sejurus kemudian ACC Klang memaklumkan sasaran curiga itu hilang daripada cerapan radar dan disyaki telah mematikan niat untuk terus memasuki perairan Malaysia.

“Kami percaya penyeludup cuba mengambil kesempatan ketika umat Islam sedang menyambut Aidiladha namun mereka silap kerana pasukan operasi Maritim Malaysia tetap terus mengawasi perairan negara daripada sebarang ancaman terutama jenayah rentas sempadan,” ujarnya.

Beliau berkata, Maritim Malaysia memandang serius sebarang pelanggaran undang-undang dan tindakan tegas akan diambil demi memastikan kesejahteraan perairan negara sentiasa terpelihara.

“Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau talian kecemasan MERS 999 untuk tindakan segera,” katanya. – Malaysiapost

Kredit foto: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here