Budak 3 tahun ditemukan lemas, bayi 18 bulan masih hilang 

0
1
grafik

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang dilaporkan hilang petang semalam ditemukan lemas di sebuah anak sungai di Kampung Kuridak Gerama, Beaufort, Sabah, hari ini.

Muhammad Qays Izhar Abd Halim, 3, ditemui pasukan operasi pada 10.23 pagi, kira-kira 70 meter dari tempat mangsa dilaporkan hilang.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, terdahulu pihaknya menerima laporan kehilangan kanak-kanak terbabit pada 10.30 pagi semalam.

Katanya, susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan polis serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) segera dijalankan.

“Pada 10.23 pagi tadi, mayat kanak-kanak terbabit ditemui di dalam parit, kira-kira 70 meter dari tempat mangsa dilaporkan hilang oleh penduduk kampung bersama pasukan polis dan bomba.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Beaufort untuk tindakan lanjut,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung status terkini pencarian seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia 18 bulan yang hilang dari rumahnya di Kampung Batu 66 semalam, Yusoff Zaki berkata, mangsa masih belum ditemui.

Katanya, mangsa dikhuatiri jatuh sungai atau hilang di hutan selepas keluar dari rumahnya dan operasi SAR giat dilakukan.

“Usaha pencarian masih dijalankan oleh pasukan polis dan bomba dengan bantuan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9),” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here